Musim hujan bawa rezeki, 10 kg ubi rebus laris dalam satu jam 

Musim hujan bawa rezeki, 10 kg ubi rebus laris dalam satu jam 

NORSYAZWAN (berdiri) melayan pelanggan yang menikmati ubi rebus yang dijual di Medan Selera Muafakat Kota Tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Musim hujan melanda negara ketika ini membawa rezeki bagi seorang peniaga makanan di sini yang menjual ubi rebus sejak tahun lepas.

Norsyazwan Samsudin, 33, berkata, ubi rebus menjadi buruan pelanggannya, bahkan kadang kala makanan tradisional itu laris dalam tempoh satu jam ia dijual. 

UBI rebus yang menjadi kegemaran pengunjung di Medan Selera Muafakat Kota Tinggi, Johor.-UTUSAN/MASTURAH SURADI

Katanya, dalam sehari, dia memperuntukkan kira-kira 10 kilogram (kg) ubi untuk direbus dan dijual terutama pada musim hujan cuaca sekarang.

“Sambutan menggalakkan sebab ubi ini ada peminatnya tersendiri lebih-lebih lagi kalau musim gaji lepas itu hujan pula sekejap sahaja sudah licin habis.

“Permintaan jualan untuk musim hujan memang meningkat sampai tidak cukup. Kadang kala habis awal kami buka kedai pukul 8 malam ada masanya pukul 9 sudah habis.

“Kalau hari biasa, kita jual 7 kg sahaja dan biasa akan habis niaga pukul 10.30 malam. Namun, untuk musim cuaca sekarang kita tingkatkan kepada 10 kg. Kebiasaannya lepas hujan, ubi rebus kami memang cepat habis,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Norsyazwan berkata, kedai ubi rebusnya terletak di Medan Selera Muafakat Kota Tinggi dibuka setiap Ahad hingga Rabu manakala Khamis hingga Sabtu dia akan memperuntukkan masa ke kebun untuk mengambil ubi.

Dia berkata, dengan menjual ubi rebus yang digandingkan dengan sambal tumis juga ikan masin pada harga RM7 satu bungkus, dia mampu meraih pendapatan sekitar RM300 hingga RM500 untuk seminggu. 

“Mungkin kalau ada rezeki, saya mahu buka lebih banyak cawangan seperti di Kulai, Pasir Gudang, Johor Bahru dan Kluang. Tambahan pula untuk stok ubi kita memang ada.

“Kita memang ada tanam ubi di Simpang Renggam, ubi tanah gambut bekalan memang sentiasa ada. Ada tiga tapak masing-masing berkeluasan 12 ekar. Idea untuk menjual ubi rebus ini juga tercetus selepas pakcik ajak mengusahakan kebun ubi ini.

“Selepas berbincang dengan keluarga, semua menyokong kerana perniagaan ubi rebus kurang pesaing, tambahan pula, dapat mengimbau zaman dulu-dulu bagi penggemarnya di samping ada kelainan dan keistimewaannya sendiri,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN