Maut kemalangan selepas serangan jantung - Utusan Malaysia

Maut kemalangan selepas serangan jantung

SEORANG tenaga pengajar di sebuah pusat memandu maut selepas selepas terbabit kemalangan di Kilometer 5, Jalan Bahau-Batu Kikir, Jempol pagi tadi.-GAMBAR/IHSAN POLIS.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Seorang tenaga pengajar sebuah pusat memandu maut selepas terbabit kemalangan di Kilometer 5, Jalan Bahau-Batu Kikir, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.52 pagi itu, mangsa, Faizal Ham Mohd Dom, 57, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan paramedik.

Menurut Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook, kemalangan membabitkan kereta Mercedes Benz yang dipandu mangsa serta lori jenis Nissan UD yang berada di bahu jalan.

“Berdasarkan siasatan awal, kemalangan berlaku ketika mangsa yang memandu seorang diri dari arah Batu Kikir menuju ke Gemencheh. Setiba di tempat kejadian, mangsa terkena serangan penyakit jantung menyebabkan gagal mengawal kenderaannya.

“Kenderaan mangsa kemudiannya melanggar lori yang diparkir di bahu jalan arah bertentangan. Akibat kemalangan ini, pemandu kereta telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Chang Hook berkata, pemandu lori berusia 53 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

Menurutnya, mayat mangsa telah dibawa ke bahagian forensik Hospital Jempol bagi tujuan bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN