PASIR MAS: Skuad Aman Wanita (Amanita) Kontinjen Kelantan memohon golongan wanita agar tidak berdiam diri sekiranya menjadi mangsa gangguan seksual semasa berada di pusat pemindahan sementara (PPS).
Pegawai Turus Amanita Kontinjen Kelantan, Deputi Superintendan N. Kavitha berkata, mangsa banjir yang terdedah kepada kes gangguan seksual di mana-mana PPS di negeri ini perlu tampil untuk membuat laporan kepada pihak polis.
Menurutnya, bagaimanapun, tiada kes gangguan seksual di PPS dilaporkan setakat ini, namun Amanita akan terus mendekati suri rumah dan golongan wanita yang terdedah kepada sebarang gangguan itu.
“Amanita bersedia membantu mangsa banjir yang terdiri daripada golongan wanita untuk berdepan kemungkinan masalah gangguan seksual di PPS.
“Kita mengambil inisiatif memberi khidmat nasihat kepada golongan wanita yang berada di PPS ini agar dapat menangani masalah tersebut. Khidmat itu diberikan secara bersemuka semasa pasukan Amanita hadir ke PPS,” katanya ketika ditemui pemberita di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Kiambang di sini hari ini.
Kavitha memberitahu, pendedahan mengenai perkara itu perlu diberikan kerana mangsa banjir berada lama di PPS dan mereka terdedah kepada gangguan tersebut.
Katanya, matlamat utama Amanita adalah untuk menjadikan golongan suri rumah sebagai rakan polis dalam usaha mengurangkan kadar jenayah di kawasan kejiranan. –UTUSAN