Kesal suara akar umbi UMNO dipinggirkan, Zool Amali pilih sertai Pas - Utusan Malaysia

Kesal suara akar umbi UMNO dipinggirkan, Zool Amali pilih sertai Pas

ZOOL Amali Hussin menyerahkan borang keahlian menyertai Pas kepada Rafiei (kiri) pada majlis yang diadakan di Lenggeng, Seremban hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban, Zool Amali Hussin hari ini sah menyertai Pas dan sekali gus meletakkan jawatan yang telah dipikulnya itu sejak tahun 2018.

Borang keahlian beliau untuk menyertai parti itu bersama 50 permohonan yang lain telah diserahkannya kepada Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha pada majlis yang diadakan di Lenggeng di sini petang tadi.

“Saya telah berbincang bersama rakan-rakan dalam Pemuda UMNO Bahagian Seremban dan saya nyatakan bahawa saya tidak boleh lagi berada dalam parti yang tidak mendengar suara akar umbi dan telah lari daripada prinsipnya.

“Jadi saya ambil keputusan meletakkan jawatan sebagai Ketua Pemuda Bahagian (Seremban) dan Pas menjadi pilihan. Hubungan yang sedia terjalin sejak Muafakat Nasional mendorong saya memilih Pas,” katanya dalam sidang akhbar di Kampung Rawa, Lenggeng di sini.

Dalam pada itu, kata Zool Amali, perbincangan telah diadakannya bersama pihak Pas Kawasan Seremban untuk menubuhkan tiga cawangan parti itu di Lenggeng.

“Sebanyak 50 borang permohonan menyertai Pas ini terdiri daripada mereka yang berada di Lenggeng, setakat ini maklum balas juga baik dan tiga cawangan Pas akan dibuka di kawasan Lenggeng,” katanya lagi.

Sementara itu, Rafiei berpandangan, kehadiran Zool Amali sudah tentu akan menguatkan lagi Pas di negeri ini khususnya di kawasan Seremban terutama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Apabila ada kemasukan Zool Amali dan rakan-rakan lain untuk bersama dengan Pas, tentu kami rasakan lebih kekuatan yang meyakinkan dalam usaha untuk memenangkan Pas,” tambahnya.

Zool Amali sebelum ini lantang memperjuangkan supaya Parlimen Seremban ditandingi oleh calon UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun, Barisan Nasional (BN) menampilkan calon dari MCA, Felicia Wong Yin Ting yang kemudian tewas dalam pertembungan lima penjuru di Parlimen tersebut.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.