KUALA LUMPUR: Rayuan seorang remaja yang didapati bersalah membunuh 23 penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju pada tahun 2017 akan didengar di Mahkamah Rayuan, Putrajaya pada 9 Mac ini.
Dalam kejadian 14 September tersebut, seramai 21 pelajar dan dua guru pusat tahfiz terkorban selepas terperangkap di tingkat tiga asrama pusat tahfiz yang terbakar.
Menurut peguam, Haijan Omar yang mewakili remaja yang kini berusia 21 tahun, mahkamah akan turut mendengar rayuan pendakwaan terhadap keputusan remaja yang dikenali sebagai Penama 2 yang sebelum ini dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan itu di akhir kes pendakwaan.
“Mahkamah turut menetapkan 23 Februari ini untuk pengurusan kes,” kata peguam itu ketika dihubungi media hari ini.
Kedua-dua remaja yang berusia 16 tahun ketika kejadian sebelum ini didakwa bersama-sama membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju, di sini di antara 4.15 pagi dengan 6.45 pagi, pada 14 September 2017.
Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukan hukuman mati.
MELEPAS
Pada 28 Januari 2020, Mahkamah Tinggi di sini melepas dan membebaskan Penama 2 dalam kes itu tanpa dipanggil membela diri terhadap pertuduhan dihadapinya.
Pada 17 Ogos 2020, Penama 1 didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi di sini atas pertuduhan tersebut.
Hakim Datuk Azman Abdullah ketika memutuskan kes itu menyatakan pihak pembelaan tidak menafikan fakta bahawa terdapat dua tong gas dibawa naik dari bahagian dapur ke hadapan pintu bilik mangsa-mangsa.
Keterangan saksi-saksi turut menyokong mengenai kewujudan petrol dan tong gas di pintu utama pusat tahfiz yang juga laluan utama untuk keluar.
Salah seorang saksi pendakwaan ketika memberi keterangan menyatakan dia, tertuduh pertama dan beberapa rakan lain berkumpul di sebuah warung pada pukul 2.38 pagi sebelum mendengar seseorang bertanya “bila nak bakar tahfiz?” namun tidak dapat mengenal pasti pemilik suara berkenaan.
HUKUMAN
Tertuduh pertama itu bagaimanapun tidak dikenakan hukuman mati kerana pesalah di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati di bawah Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001 menyatakan bahawa hukuman mati tidak boleh dijatuhkan ke atas pesalah kanak-kanak bawah umur 18 tahun namun mahkamah boleh menjatuhkan hukuman penjara selama mana diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.
Mengikut Seksyen 94 akta sama, mahkamah juga mempunyai kuasa untuk memerintahkan supaya ibu bapa dikenakan denda atau membayar pampasan.
Seramai 71 orang saksi pendakwaan manakala enam saksi pembelaan telah dipanggil untuk memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang bermula pada 30 Mei 2018. Kedua-dua remaja itu didakwa pada 28 September 2017.- UTUSAN