KOTA BHARU: Kerjasama Jabatan Penjara Kelantan dengan syarikat swasta dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) memberi peluang kepada seramai 30 banduan wanita di Penjara Pengkalan Chepa di sini bakal bergelar usahawan selepas mereka dibebaskan dari penjara.
Pengarah Penjara Kelantan, Penolong Kanan Komisioner Mat Yaacob berkata, banduan-banduan itu diberikan latihan kemahiran tertentu selama enam bulan sebelum mereka dibebaskan.
Menurutnya, ia merupakan persediaan awal untuk mereka sebelum mempersiapkan perniagaan bagi menjana pendapatan untuk menyara keluarga.
“Pelbagai latihan disediakan oleh Jabatan Penjara Kelantan untuk banduan wanita termasuk menghasilkan songket, batik, kuih-muih dan kemahiran mengendalikan spa.
“Kita memberi galakan dan sijil atas setiap kemahiran yang mereka pelajari. Kerjasama dengan syarikat swasta dan JTK dapat memberi peluang kepada mereka menceburi bidang-bidang tersebut apabila dibebaskan,” katanya ketika ditemui pemberita di Penjara Pengkalan Chepa di sini semalam.
Mat memberitahu, banduan wanita yang sudah menjalani latihan diberi peluang bekerja di salon dan spa milik penjara yang mula dibuka bermula tahun lalu.
Katanya, seramai tiga banduan wanita akan bekerja di situ mengikut giliran yang telah ditetapkan.
“Spa dan salon ini menawarkan perkhidmatan rawatan badan, rambut termasuk muka. Orang awam boleh membuat tempahan menerusi Facebook Galeri Penjara Pengkalan Chepa.
“Sejak pembukaan spa dan salon itu, kita memperoleh pendapatan sehingga RM5,000 sebulan. Selain itu Penjara Pengkalan Chepa juga ada menjual produk batik, songket, pastri dan barangan sejuk beku,” katanya.
Sementara itu, seorang banduan wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Zakiah,36, berkata, dia menjalani hukuman selama 14 bulan kerana terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
Katanya, dia yang berasal dari Besut, Terengganu ditahan mengikut Seksyen 12(2) dan 15(a)(1) menyatakan sudah insaf dan akan menjalani kehidupan seperti biasa demi menyara dua anaknya yang berusia dua dan 13 tahun.
“Saya akan gunakan kemahiran yang dipelajari di penjara untuk bekerja atau menjalankan perniagaan sendiri selepas dibebaskan pada bulan Februari depan,” ujarnya. –UTUSAN