Kerajaan NS mohon PLUS pasang lampu di Lebuhraya Seremban-Port Dickson - Utusan Malaysia

Kerajaan NS mohon PLUS pasang lampu di Lebuhraya Seremban-Port Dickson

AMINUDDIN Harun (dua dari kiri) menyerahkan geran kepada wakil pada Majlis Penyerahan Geran Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) Tahun 2022 Bagi Daerah Port Dickson, Jempol dan Kuala Pilah di Port Dickson hari ini.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Kerajaan Negeri Sembilan memohon pertimbangan pihak PLUS Malaysia Bhd. (PLUS) bagi memasang lampu jalan di sepanjang Lebuhraya Seremban-Port Dickson.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, langkah tersebut mengelakkan kejadian kemalangan yang kerap berlaku di lebuh raya tersebut.

“Sepatutnya semua jalan termasuk lebuh raya memerlukan lampu jalan, jadi saya memohon kepada pihak PLUS untuk mengkaji perkara tersebut dan dapat memasang lampu jalan sehingga keluar ke plaza tol Mambau.

“Saya harap pihak PLUS dapat mempertimbangkannya demi keutamaan penduduk di Port Dickson. Setakat ini, pihak kerajaan negeri belum menghantar sebarang surat namun akan meminta pihak Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) memberi perhatian mengenai isu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Geran Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) Tahun 2022 Bagi Daerah Port Dickson, Jempol dan Kuala Pilah di sini hari ini.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan desakan orang ramai supaya isu jalan gelap di Lebuhraya Seremban-Port Dickson diselesaikan segera pihak bertanggungjawab.

Walaupun ada kemalangan bukan berpunca daripada keadaan gelap di lebuh raya berkenaan namun keperluan pemasangan lampu jalan bagi menambah pencahayaan di situ penting bagi mengelak kejadian buruk lain daripada berlaku.

Aminuddin yang juga Ahli Parlimen Port Dickson sementara itu menjelaskan, pemberian geran kepada JMB dan MC adalah untuk menggalakkan program-program berkaitan kebersihan, keselamatan, kemasyarakatan serta kesedaran penghuni kawasan pemajuan berstrata.

Jelasnya, sebelum ini, kerajaan negeri  telah memperuntukkan sebanyak RM635,000 bagi pemberian geran kepada JMB dan MC dalam inisiatif Belanjawan 2022 yang melibatkan skim strata kos rendah dan sederhana rendah dengan pemberian geran one-off berjumlah RM5,000.

“Saya mendapat  maklum balas bahawa sambutan ke atas inisiatif ini  adalah menggalakkan. Sehubungan dengan itu, inisiatif Geran Kepada JMB dan MC diteruskan di  bawah Inisiatif Belanjawan Tahun 2023 yang diumumkan baru-baru ini.

“Ia dengan penambahan RM2,000 ke atas jumlah geran sebelum ini menjadikan setiap skim akan menerima geran sejumlah RM7,000 secara one-off,” jelasnya.

Menurut Aminuddin, terdapat sebanyak 127 skim strata kos rendah dan skim strata kos sederhana rendah dikenal pasti di seluruh Negeri Sembilan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya