KOTA BHARU: Kerajaan negeri akan mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri ke-10 Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat.
Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, kunjungan hormat itu bertujuan memperkukuhkan hubungan baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
“Kunjungan hormat itu akan dilakukan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.
“Perkara tersebut akan diuruskan oleh Pejabat Menteri Besar untuk mengemukakan tarikh kunjungan hormat itu nanti,” katanya selepas Mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
Mohd. Amar memberitahu, kunjungan hormat Menteri Besar kepada Perdana Menteri adalah perkara biasa.
Utusan Online pada 24 November lalu melaporkan, Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 selepas mengangkat sumpah dihadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Istana Negara.
Istiadat angkat sumpah berkenaan menamatkan kemelut politik yang melanda negara pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) selepas tiada gabungan parti politik meraih kemenangan dengan majoriti mudah.-UTUSAN