BAGAN DATUK: Seorang kanak-kanak lelaki berbangsa Rohingya dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari jeti dekat pelantar ikan di Hutan Melintang di sini malam tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, maklumat kejadian membabitkan mangsa berusia tujuh tahun itu diterima pada pukul 7.08 pagi.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hutan Melintang diatur gerak ke lokasi kejadian bagi mencari mangsa.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa diaktifkan pagi tadi di mana pasukan bomba memberi fokus pencarian di permukaan sungai.
“Dua unit bot bomba digunakan dalam operasi tersebut selain bantuan daripada Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Teluk Intan dan polis bagi mengesan mangsa,” katanya. –UTUSAN