Insiden 'fun fair': Keluarga mangsa mahu ambil tindakan undang

Insiden ‘fun fair’: Keluarga mangsa mahu ambil tindakan undang-undang

FAIZAH Mat Sam (tengah) menunjukkan gambar Shah Faraz yang cedera dalam insiden itu dekat kediamannya di Kampung Bukit Kuching, Jeram, Kuala Selangor, Selangor. -UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Keluarga dua beradik yang cedera terjatuh daripada permainan di tapak pesta ria Bandar Puncak Alam di sini akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pengusaha pesta ria itu.

Insiden malang itu mengakibatkan mangsa iaitu Shah Faraz Aiefan Zulkiffle, 11, cedera di muka dan kaki manakala kakaknya, Noraziera, 31, terhentak di kepalanya.

Ibu mangsa, Faizah Mat Sam, 52, berkata pihaknya amat kesal dengan kejadian itu yang dianggap sebagai kecuaian pihak penganjur.

“Perkara ini melibatkan soal keselamatan dan nyawa yang dikhuatiri bakal menimpa orang lain pada masa depan. Justeru, kami bersetuju untuk mengambil tindakan sewajarnya sebagai pengajaran dan pembelaan kepada dua anak saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Kuching, Jeram.

Jelas suri rumah itu, pihaknya sudah membuat dua laporan polis di Balai Polis Jeram dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor bagi tindakan lanjut.

“Kedua-dua mangsa yang juga anak sulung dan bongsu saya itu masih menerima rawatan di Hospital Shah Alam. Mereka bagaimanapun dilaporkan stabil dan akan dibenarkan pulang pada bila-bila masa,” ujarnya .

Kata Faizah, dia sememangnya berasa tidak sedap hati ketika empat anaknya mahu pergi ke tapak pesta ria itu, kira-kira pukul 7 petang semalam.

“Saya ketika itu hanya sempat berpesan supaya menjaga Shah Faraz dengan baik. Kerisauan saya itu ternyata benar apabila dikejutkan dengan panggilan telefon seorang anak perempuan mengenai kejadian itu pukul 9 malam,” katanya.

Tambah ibu kepada tujuh anak itu lagi, dia bagaimanapun bersyukur dua mangsa tidak mengalami kecederaan serius dan berharap dapat segera pulang ke pangkuan keluarga. 

Terdahulu, suasana di tapak pesta ria itu gempar apabila tiga individu termasuk kanak-kanak cedera dalam insiden terjatuh daripada satu permainan, kira-kira pukul 8.50 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira pukul 8.50 malam.

Siasatan awal mendapati mangsa melibatkan seorang kanak-kanak dan dua wanita di kawasan permainan ‘Sotong Ride’. Kesemua mangsa dikejarkan ke Hospital Shah Alam untuk menerima rawatan lanjut.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN