Hasil padi Johor meningkat 30.1 peratus, perkasa sekuriti makanan

Hasil padi Johor meningkat 30.1 peratus, perkasa sekuriti makanan

Zahari Sarip
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri berjaya meningkatkan hasil pengeluaran sawah padi negeri ini sebanyak 30.1 peratus tahun ini, iaitu sebanyak 6,225 tan berbanding 4,746 tan pada tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Zahari Sarip berkata, kejayaan itu selari dengan Agenda Jaminan Bekalan Makanan Negeri Johor menerusi inisiatif ‘Periuk Nasi Selatan’.

Menurutnya, peningkatan itu disebabkan komitmen petani dalam pengurusan sawah yang lebih teratur dan sistematik, serta pelaksanaan insentif projek pembangunan sawah padi.

“Keluasan sawah padi di Johor adalah kecil jika dibandingkan dengan negeri lain yang mempunyai kawasan jelapang padi seperti di Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu. 

“Namun, kerajaan negeri tetap menjadikan agenda pembangunan ‘Periuk Nasi Selatan’ sebagai keutamaan dalam Agenda Jaminan Bekalan Makanan Negeri Johor,” katanya menjawab soalan Selamat Takim (BN-Sungai Balang) dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Zahari berkata, Johor mempunyai 10 kawasan tanaman sawah padi dengan keluasan keseluruhan berjumlah 2,254.39 hektar. 

“Kawasan ini melibatkan daerah Tangkak (lima sawah; 842.97 hektar), Muar (satu sawah; 364.22 hektar), Mersing (dua sawah; 549.38 hektar),  Batu Pahat (satu sawah; 141.70 hektar) dan Kluang (satu sawah; 356.12 hektar) membabitkan jumlah pesawah seramai 875 orang.

“Pada tahun 2022, Jabatan Pertanian Johor telah melaksanakan program insentif peningkatan hasil padi menerusi enam program dengan jumlah keseluruhan RM3.2 juta kepada pesawah, sama ada secara individu atau berkelompok. 

“Ini merangkumi Insentif Pengapuran Tanah Sawah dan Input Tambahan, Insentif Peralatan Tanah Sawah, Insentif Program Mekanisasi, Insentif Pembaikan Infrastruktur Sawah, Insentif Pengurusan Air Sawah serta Insentif Kawalan Bersepadu dan Pengurusan Tanah Serta Pembajaan,” jelasnya.

Beliau turut memberitahu, kerajaan menerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) turut memberi insentif menerusi skim bantuan pesawah dalam membantu meningkatkan pengeluaran hasil padi melalui Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP), Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) dan Insentif Pembajakan Kepada Pesawah (IPKP).

Bagaimanapun, pihaknya turut mengakui berdepan beberapa isu dalam usaha membangunkan ‘Periuk Nasi Selatan’, antaranya kadar keasidan air dan tanah sawah yang rendah atau masam (pH 2.0 – 5.5) terutamanya di Sawah Sagil dan Sawah Sungai Balang, tanah Jerlus di beberapa bahagian sawah di Sawah Sungai Balang dan Endau serta masalah banjir yang kerap berlaku di Sawah Sagil. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya