JOHOR BAHRU: Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir meminta kepimpinan setiap parti dalam kerajaan perpaduan untuk memberi tumpuan kepada pentadbiran negara dan mengurangkan berpolitik kepartian.
Beliau yang juga merupakan Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan turut memberitahu, perkara itu juga dapat mengurangkan perselisihan faham kepimpinan negara yang berbeza parti politik.
Hal itu kerana katanya, kerajaan persekutuan ketika ini adalah sebuah kerajaan perpaduan atau kerajaan gabungan pelbagai parti dan bukannya kerajaan Pakatan Harapan (PH).
“Semasa menjadi wakil rakyat pada 2018, saya merasakan sudah melihat semua perkara dalam politik, tetapi, sebenarnya saya silap. Kini apabila sudah berada dalam Kabinet baharu, saya sedar banyak lagi cabaran yang perlu dihadapi, ia pasti akan menjadi seperti ‘roller coaster ride’.
“Apabila sudah menjadi kerajaan, fokus adalah untuk rakyat dan mendengar kehendak dan permasalahan mereka kerana rakyat adalah yang lebih utama.
“Ini bukan hanya kerajaan PH, tetapi adalah kerajaan perpaduan dan kerajaan gabungan, jadi kita perlu fokus kepada mentadbir negara dan mengelakkan sebarang perselisihan politik, itu antara cabaran perlu dihadapi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pertemuan Penduduk Kim Teng Park yang diadakan di pusat bandar raya ini, di sini hari ini.
Terdahulu, kerajaan perpaduan diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menandatangani perjanjian persefahaman parti-parti politik kerajaan perpaduan dalam usaha memastikan kestabilan politik dan pentadbiran negara khususnya dalam tempoh lima tahun.
Tambah Akmal Nasrullah, beliau juga sedar dengan tanggungjawab yang diamanahkan kepada dirinya khususnya setelah dilantik sebagai Timbalan Menteri akan bertambah, berbeza dengan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen.
“It’s not going to be easy, tapi kita akan lakukan yang terbaik untuk rakyat. Namun, saya perlu minta maaf terlebih dahulu sekiranya tidak dapat banyak meluangkan masa di kawasan Parlimen.
“Ini kerana saya akan lebih kerap berada di Kuala Lumpur dan Putrajaya kerana urusan tugas dan tanggungjawab di kementerian, tetapi saya akan lakukan terbaik untuk penduduk Parlimen Johor Bahru yang telah menyokong perjuangan selama ini.
Akmal Nasrullah atau lebih mesra disapa dengan panggilan Akmal Nasir dilantik sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan setelah berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Johor Bahru dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), baru-baru ini. –UTUSAN