Fitnah: DAP minta maaf terhadap Rahim Thamby Chik

Fitnah: DAP minta maaf terhadap Rahim Thamby Chik

Tan Sri Rahim Thamby Chik
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Parti DAP hari ini memohon maaf kepada Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik kerana memfitnahnya dengan mengaitkan bekas Ketua Menteri Melaka dengan pelbagai skandal, empat tahun lalu.

Permohonan maaf tersebut dibacakan oleh Naib Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong yang juga defendan pertama dalam saman tersebut.

Abdul Rahim hadir di mahkamah hari ini.

Permohonan maaf yang dibacakan hari ini merupakan sebahagian daripada perjanjian penyelesaian dalam kes saman Abdul Rahim terhadap Poay Tiong dan parti itu.

Kes saman fitnah itu sepatutnya mula dibicarakan hari ini.

Permohonan maaf itu juga perlu disiarkan di beberapa akhbar tempatan termasuk Utusan Malaysia serta laman sosial Facebook defendan dalam tempoh 14 hari dari tarikh hari ini.

Hakim Pesuruhjaya Kehakiman Dr. Mohamad Johan Lee @ John Lee Kien How yang merekodkan perjanjian persetujuan turut mengarahkan kesemua defendan turut diarahkan untuk membayar RM180,000 kepada Abdul Rahim.

Berdasarkan perjanjian penyelesaian itu, defendan-defendan juga bersetuju untuk menarik balik dan memadamkan artikel-artikel fitnah tersebut.

Artikel-artikel fitnah yang disiarkan di laman sesawang DAP ialah  “Rahim Thamby Chik is not ‘Bapa Pembangunan Melaka’ but is ‘Bapa Segala Skandal Melaka’, and “Rahim Thamby Chik Bukan Bapa Pembangunan Melaka tetapi Bapa Segala Skandal Melaka”.

Pada 17 September 2020, Abdul Rahim memfailkan saman fitnah tersebut dengan menamakan  Poay Tiong yang juga merupakan Penolong Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP; bekas Pengerusi Kebangsaan DAP, Tan Kok Wai, Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo dan bekas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang dinamakan sebagai defendan pertama hingga keempat.

Defendan kedua hingga keempat disaman sebagai pemegang jawatan dalam parti yang merupakan pemilik dan penerbit laman sesawang DAP iaitu https://dapmalaysia.org.

Menurut pernyataan tuntutan yang diperoleh melalui carian dokumen, Abdul Rahim mendakwa Poay Tiang menulis dan menerbitkan sebuah artikel berbaur fitnah di laman Facebook miliknya yang mengandungi pernyataan-pernyataan berbaur fitnah terhadap plaintif pada 16 Disember 2018.

Pernyataan fitnah itu antara lain menggambarkan plaintif terlibat dengan skandal, melakukan jenayah seksual, salah guna kuasa dan korup sehingga menyebabkan reputasi Abdul Rahim tercalar dan dipandang hina di kalangan rakan-rakan, kenalan dan masyarakat umum.

Defendan kedua hingga keempat pula didakwa menerbitkan atau menyebabkan kata-kata fitnah diterbitkan dalam laman web https://dapmalaysia.org menyebabkan kata-fitnah itu diterbitkan dan boleh diakses serta dikongsi di blog, forum dan laman-laman portal tanpa batasan.

Walaupun plaintif melalui peguamnya telah meminta Poay Tiong untuk menarik balik kenyataan tersebut dan meminta maaf melalui surat tuntutan bertarikh 18 Februari 2019, defendan pertama enggan memenuhi tuntutan tersebut malah telah bertindak mencabar Abdul Rahim untuk menyamannya.

Poay Tiong juga didakwa telah meneruskan penerbitan pernyataan berbaur fitnah dan kata-kata yang merosakkan reputasi plaintif.

Oleh itu, bekas Ketua Menteri Melaka itu memohon ganti rugi am, teruk dan teladan yang akan ditaksirkan oleh mahkamah.

Abdul Rahim turut memohon satu perintah agar Poay Tiong menerbitkan permohonan maaf secara bertulis di akhbar dan majalah yang akan ditentukan oleh plaintif.

Selain itu, Plaintif turut memohon perintah injunksi bagi menghalang kesemua defendan, pekerja atau ejennya daripada menerbitkan semula pernyataan fitnah itu, memadamkan atau membuang artikel tersebut daripada laman Facebook dan laman sesawang parti itu.

Turut dimohon ialah faedah sebanyak lima peratus dari tarikh penerbitan artikel berbaur fitnah itu hingga tarikh penyelesaian penuh dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya