Bomba kenal pasti 4,795 lokasi risiko banjir seluruh Malaysia

Bomba kenal pasti 4,795 lokasi risiko banjir seluruh Malaysia

MOHAMMAD Hamdan Wahid (tiga dari kanan) beramah mesra dengan peserta seminar pada majlis Perasmian Seminar Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam Zon Selatan di Pusat Konvokesyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru disini.-UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sejumlah 4,795 lokasi panas berlaku banjir telah dikenal pasti di seluruh Malaysia menjelang musim tengkujuh akhir tahun ini melibatkan kesemua negeri, khususnya negeri-negeri pantai Timur.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Malaysia, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, pihaknya turut mengenal pasti 186 lokasi panas kejadian kepala air dan 254 cerun kritikal.

Menurut beliau, pihaknya juga sedang memantau keadaan banjir terkini yang sedang melanda 14 daerah melibatkan lima negeri dengan seramai 2,763 bangsa ditempatkan di 22 pusat pemindahan sementara (PPS).

“JBPM kenal pasti 4,795 lokasi panas banjir, selain 186 lokasi panas kepala air dan 254 cerun kritikal yang berisiko berlaku bencana seperti banjir kilat atau kepala air khususnya dalam musim tengkujuh ketika ini.

“Sehubungan itu, kita menasihati orang ramai khususnya penduduk di kawasan yang berisiko banjir untuk sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan yang boleh berlaku seperti banjir kilat dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Seminar Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam (Pindaan 2001) Zon Selatan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada (Persada), di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JBPM Malaysia, Datuk Edwin Galan Teruki.

Daripada jumlah berkenaan, Sarawak merupakan negeri dengan lokasi banjir tertinggi iaitu sejumlah 1,034 lokasi, diikuti Kelantan (595 lokasi), Pahang (554 lokasi), Sabah (520 lokasi) dan Johor (432 lokasi).

Tambahnya Mohammad Hamdan, pihaknya turut menyeru orang ramai termasuk pihak berkuasa tempatan untuk menghentikan sementara aktiviti rekreasi khususnya di kawasan-kawasan berisiko tinggi seperti gunung, bukit, sungai, jeram dan pantai.

“Kita faham cuti hujung tahun ini, pasti ramai keluarga sedang merancang aktiviti percutian terbaik riadah di kawasan-kawasan tertentu, namun kita berharap aktiviti tersebut dapatlah dihentikan seketika sementara dalam tempoh berjaga-jaga ini.

“Kawasan berisiko berlaku fenomena kepala air, ombak besar dan juga banjir kilat khususnya perlu diberikan perhatian dan persediaan lebih dalam memastikan tiada sebab insiden tidak diingini berlaku dalam tempoh ini,” jelasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN