Banjir: Adik hilang tiga kakak kesayangan dalam sekelip mata

Banjir: Adik hilang tiga kakak kesayangan dalam sekelip mata

MOHD. Amin Mohd. Nadzir semasa ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Tumpat, Kelantan hari ini-UTUSAN/ROHANA MOHD. NAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Adik lelaki kepada tiga wanita yang maut selepas mereka terkena renjatan elektrik berhampiran rumahnya di Kampung Morak di sini hari ini tidak menyangka akan kehilangan tiga orang kakak dalam sekelip mata.

Mohd. Amin Mohd. Nadzir, 23, berkata, kejadian yang menimpa tiga kakaknya, Nurul Syazwani, 33, Sakinah, 29, dan Norfatihah,27, berlaku dalam masa singkat.

Menurutnya, sebelum kejadian, dia melihat tiga kakaknya itu berada di luar rumah untuk melihat keadaan banjir yang berlaku kira-kira 100 meter dari rumah mereka.

“Selepas itu, saya pulang ke rumah dan sempat melihat salah seorang daripada mereka kelihatan seperti tergelincir semasa berada berhampiran tiang garaj berhampiran rumah kami.

“Kemudian, saya lihat dua lagi kakak rebah di dalam takungan air banjir di kawasan itu. Saya bergegas lari untuk menyelamatkan mereka, namun, dihalang jiran-jiran yang mengesyaki ada arus elektrik,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik, Hospital Tumpat di sini hari ini.

Menurut Mohd. Amin, ketika kejadian, ibunya, Zainun Sulaiman, 62, sedang tidur selepas menunai solat dhuha sebelum dia dikejutkan dengan mengenai kejadian tersebut.

Katanya, dia amat sedih apabila kehilangan ketiga-tiga kakaknya kerana amat rapat dengan mereka.

“Nurul Syazwani dan Sakinah merupakan guru tadika. Ketiadaan mereka merupakan kehilangan besar buat kami sekeluarga. Bagaimanapun, kami tetap reda dengan pemergian mereka,” ujarnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN