Arang batu, dolar AS punca simen mahal

Arang batu, dolar AS punca simen mahal

simen
Kenaikan harga simen ketika ini membebankan kontraktor terutama yang bersaiz kecil.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kenaikan harga simen sehingga 30 peratus sejak pembubaran Parlimen pada 10 Oktober lalu daripada RM17 satu beg kepada RM22.50 dipe­ngaruhi faktor kenaikan kos arang batu sejak setahun lalu.

Malah, Utusan Malaysia difahamkan kekuatan nilai mata wang dolar Amerika Syarikat (AS) berbanding ringgit juga mendorong peningkatan kos produk penting dalam sektor pembinaan itu.

Sumber industri yang dihubungi berkata, arang batu adalah instrumen penting da­lam penghasilan simen, digunakan bagi tujuan membakar bahan-bahan mentah bagi meng­hasilkan produk itu.

Sejak setahun lalu, kata sumber, berlaku peningkatan kos arang batu di seluruh dunia yang sekali gus memberi kesan terhadap sektor pembuatan simen di negara ini.

Justeru, menurut sumber itu, faktor arang batu itu telah meningkatkan kos penghasilan simen yang mana 50 peratus kosnya datang daripada sumber arang batu.

“Gambaran kasar dalam sektor penghasilan simen ini, jika bercakap soal kenaikan harga seperti dilaporkan Utusan Malaysia, ia ada kaitan dengan kenaikan harga arang batu sedunia.

“Ini kerana, semua simen di Malaysia ini, untuk menghasilkannya perlu menggunakan arang batu.

“Bahan itu digunakan untuk tujuan membakar bahan mentah yang menjadi ramuan kepada penghasilan simen.

“Secara kasar, kos arang batu merangkumi 50 peratus daripada kos keseluruhan menghasilkan simen,” kata sumber.

Menjelaskan lanjut, sumber berkata, ramuan menghasilkan simen terdiri daripada empat bahan utama iaitu batu kapur, pasir, tanah liat dan bijih besi.

Malangnya, sumber berkata, oleh kerana kebanyakan bahan tersebut diimport, maka pengukuhan nilai dolar mendorong kepada kenaikan harga produk yang terhasil.

“Ini kerana ramuan menghasilkan simen merupakan produk-produk yang diimport dari luar negara, yang mana transaksinya dalam dolar,” kata sumber.

PENGELUAR

Dalam pada itu, sumber berkata, semua syarikat-syarikat pengeluar simen negara ini telah menyerap kos kenaikan harga arang batu sejak setahun lalu tanpa menaikkan harga simen sehinggalah terpaksa berbuat demikian pada Oktober lalu.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan bahawa harga simen yang merupakan salah satu dari Barang Kawalan Berjadual, melonjak naik sehingga 30 peratus iaitu dari RM17 setiap beg seberat 50 kilogram kepada RM22.50 sejak pembubaran Parlimen pada Oktober lalu.

Laporan itu disokong oleh kenyataan beberapa persatuan kontraktor yang mendakwa, telah menerima surat dari beberapa pengeluar simen memaklumkan tentang kenaikan harga produk tersebut.

Antaranya, dua surat yang dihantar oleh sebuah syarikat simen kepada persatuan kontraktor yang disemak Utusan Malaysia – bertarikh 16 November lalu yang menyatakan bahawa berkuat kuasa 17 November, harga runcit yang dicadangkan oleh pihak pengeluar bagi satu beg simen secara penghantaran adalah RM22.50 setiap beg berat 50 kilogram, atau RM450 bagi satu tan.

Satu surat lain pula, bertarikh 30 November lalu, memaklumkan bahawa berkuat kuasa 14 Disember, harga runcit yang dicadangkan pengilang bagi simen pukal berjumlah RM410 bagi setiap satu tan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN