57 ketua pemuda dalam Bahagian Seremban kekal bersama UMNO - Utusan Malaysia

57 ketua pemuda dalam Bahagian Seremban kekal bersama UMNO

MOHD. RASHIDI MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seramai 57 orang Ketua Pemuda UMNO cawangan dalam Bahagian Seremban kekal bersama UMNO meskipun bekas Ketua Pemuda UMNO bahagian itu, Zool Amali Hussin memilih untuk menyertai Pas, semalam.

Pemangku Ketua Pemuda UMNO Bahagian Seremban, Mohd. Rashidi Mustafa, 43, berkata, seluruh ahli Pemuda UMNO di bahagian itu juga telah memilih untuk terus bersama UMNO sebagai wadah perjuangan mereka.

“Saya bersama- sama dengan 56 orang Ketua Pemuda di bahagian Seremban yang lain telah mengambil keputusan untuk terus bersama UMNO di bawah nakhoda Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bagi meneruskan perjuangan UMNO sehingga ke pemilihan yang akan datang.

“Kami membuat keputusan, selagi mana Presiden UMNO terus mempertahankan perlembagaan UMNO, agama, bangsa dan tanah air dibela dan dipertahankan maka seluruh pemuda UMNO di Bahagian Seremban akan terus bersama panji-panji perjuangan UMNO sebagai wadah perjuangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam satu majlis di Lenggeng, di sini semalam, Zool Amali mengumumkan menyertai Pas sekali gus meletakkan jawatan sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban, jawatan yang telah dipikulnya sejak tahun 2018.

Beliau menyerahkan borang kemasukan sebagai ahli Pas bersama 50 permohonan yang lain kepada Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha.

Dalam sidang akhbar pada majlis tersebut, Zool Amali menyifatkan dirinya tidak boleh lagi berada dalam parti yang tidak mendengar suara akar umbi dan telah lari daripada prinsip.

Sementara itu, Mohd. Rashidi berterima kasih kepada Zool Amali yang telah menerajui sayap pemuda UMNO itu di Bahagian Seremban selama ini.

“Saya menghormati pilihan beliau untuk bersama Pas dalam perjuangan politiknya, masing- masing berhak memilih jalan yang mereka percaya. Saya dengan rendah hati serta penuh keinsafan akan memangku Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Seremban serta merta sehingga tamat penggal,” tambahnya lagi.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya