KUALA LUMPUR: Bekas Pengurus Perhubungan Ambank, Joanna Yu Ging Ping mengakui mengenali serta berkawan secara profesional dan peribadi dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.
Menurut wanita terbabit, dia sering ke apartment lelaki tersebut setiap kali Jho Low datang ke Malaysia begi membincangkan urusan membabitkan pinjaman oleh syarikat pegangan pelaburan, Majestic Masterpiece Sdn. Bhd. (Majestic).
Bagaimanapun, Ging Ping memberitahu, dia tidak pernah berseorangan dengan Jho Low ketika berada di apartment tersebut kerana akan sentiasa terdapat beberapa individu lain di premis terbabit.
Antara individu yang selalu ditemui di apartment Jho Low ialah bekas Pengarah Eksekutif 1MDB, Casey Tang, bekas pegawai undang-undang 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Putra Perdana, Jerome Lee, bekas-bekas pegawai 1MDB, Kee Kok Thiam dan Shahrol Azral Ibrahim Hilmi.
Muhammad Shafee: Kamu ada hubungan dengan Jho Low, maksud saya, sebagai pegawai bank dan rakan?
Ging Ping: Ya
Muhammad Shafee: Saya tidak mencadangkan kamu mempunyai hubungan yang tidak sopan (inappropriate) dengan Jho Low, tetapi kamu ada hubungan rapat dengannya?
Ging Ping: Ya
Muhammad Shafee: Jho Low memang suka telefon pegawai bank seperti awak untuk ke rumahnya berbanding pergi ke bank sendiri?
Ging Ping: Ya.
Muhammad Shafee: Jadi kenapa awak menurutinya?
Ging Ping: Kebiasaannya, ia berlaku apabila di berada di dini dan dia akan tanya sama ada boleh datang dan berjumpa. Tetapi setiap kali pertemuan ia ada berkenaan pinjaman Majestic.
Terdahulu, Ging Ping memberitahu dia telah diperkenalkan kepada Jho Low oleh bekas ketua pasukannya, Chan Wan Seong pada 2007 bagi mengendalikan akaun pinjaman Majestic.
Majestic merupakan sebuah syarikat yang dimiliki oleh Wynton Private Equity Group dan Abu Dhabi Kuwait Malaysia Investment Corp (ADKMIC). Jho Low merupakan salah seorang pengarah di Wynton.
Ging Ping berkata demikian dalam perbicaraan kes Najib, 69, sedang dibicarakan terhadap empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin depan.-UTUSAN