KUALA LUMPUR: Calon Barisan Nasional bagi Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin berkata, bukan mudah baginya memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ini kerana jelasnya, kerusi berkenaan sudah tiga kali berturut-turut tewas di bawah parti, namun, kini beliau diberi mandat untuk memenanginya di bawah tiket Barisan Nasional (BN).
Menceritakan perkara itu, Khairy berkata, beliau diberi beberapa pilihan kawasan Parlimen sebelum memutuskan untuk bertanding di Sungai Buloh.
“Nak buat keputusan ini bukannya senang, saya tinggalkan kawasan yang saya menang tiga kali berturut-turut, selepas itu saya datang di kawasan yang kita kalah tiga kali berturut-turut. Tapi, saya masih waras.
“Saya dapat panggilan dari Tan Sri Noh, sahabat saya, sama-sama menteri dalam Kabinet dari dulu lagi. Tan Sri Noh bagitahu saya, ‘KJ mai Selangor lah’, saya kata betulkah Tan Sri? Betulkah nak saya datang ke Selangor? Dia (Noh) kata Selangor ni dah tiga kali kalah, kali ni mungkin susah nak menang, tapi kalau tidak ada orang berani membantu BN di Selangor, yang ada jawatan menteri, ada sedikit nama di peringkat nasional ini, siapa lagi akan tolong kita di Selangor?
“Jadi Tan Sri pun dia tak sebut Sungai Buloh, dia bagi menu, tapi semua kawasan gelap gelita, semua hitam melegam. Saya pun tengok satu per satu. Pertamanya saya nak cari kawasan di mana sokongan padu dari jentera BN, saya takut jadi macam apa yang kita tengok dalam media sosial, umum calon, tutup bilik gerakan.
“Umum calon turunkan bendera, umum calon bertanding atas tiket bebas dan sebagainya, saya nak cari tempat kalau saya datang, saya akan datang sini dengan open arms dengan orang tempatan,” katanya dalam program Bertemu Jentera di Pejabat UMNO Cawangan Sungai Buloh di sini, malam tadi.
Bagaimanapun, beliau dalam masa yang sama turut berkata akan tetap menyahut cabaran untuk bertanding di kawasan bandar dan memberi kemenangan untuk BN.
“Kalau semua pemimpin UMNO BN pergi ke kawasan bandar yang selamat, tidak ada siapa yang datang tampil ke sini lawan dalam kawasan bandar untuk kita menang kawasan bandar, selama-lamanya lah kita menjadi parti luar bandar. Tak salah, luar bandar, kampung punpenting, tetapi macam mana dengan bandar?
“77 peratus urbanisasi penghijrahan dari luar bandar ke bandar di Rembau, saya bertanding dulu 60,000 sahaja, sekarang 160,000 bila datang ke Sungai Buloh sebab majoriti orang duduk di bandar.
Takkan kita nak surrender semua kerusi bandar? Takkan kita nak kalah tanpa berlawan? Bila tengok bandar sahaja semua lari ke kawasan luar bandar,” ujarnya.
Beliau dalam masa yang sama turut menjelaskan yang Kata Janji (KJ) Sungai Buloh akan diumumkan pada minggu hadapan sebagai amanat yang akan dilaksanakan untuk rakyat Sungai Buloh sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat nanti. –UTUSAN