KUALA LUMPUR: Bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua yang bertanding sebagai calon Bebas di Parlimen Batu mendedahkan bahawa terdapat akuan bersumpah (SD) dilakukannya untuk menyokong Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Tian Chua berkata, beliau tidak akan mengkhianati PH walaupun bertanding sebagai calon Bebas dan dirinya sudah berikrar sekiranya memenangi Parlimen Batu ia juga akan menjadi penyumbang untuk PH membentuk kerajaan.
Menurut beliau, pihak yang menyebarkan berita-berita palsu dengan mengatakan dirinya sudah berpaling tadah bagi memastikan rakyat tidak akan mengundi dan benci pada beliau perlu dihentikan.
“Saya rasa tidak mungkin dan juga berikar bahawa saya tidak akan mengkhianati agenda PH, itu adalah komitmen saya. Sesiapa yang menabur fitnah dengan mengatakan sekiranya saya menang di Parlimen Batu, saya akan sokong gabungan lain tu, berhentilah!.
“Jangan teruskan berita palsu untuk memburukkan imej saya, saya konsisten dengan pengorbanan dilakukan sebelum ini dan bahawa kekal sehaluan dengan arah tuju perjuangan PKR,” katanya semasa sidang media.
Terdahulu, sebuah media tempatan melaporkan penyandang kerusi Parlimen Batu. P. Prabakaran mendakwa Tian Chua cuba melemahkan sokongan PH di kawasan Batu supaya Anwar tidak menjadi Perdana Menteri.
Tian Chua berkata, SD tersebut bukan sebagai gimik untuk beliau menang dalam pertandingan 10 penjuru ini kerana ia sudah ditandatangani pada 26 Oktober lalu iaitu sebelum hari penamaan calon dan surat tersebut juga sudah diserahkan sendiri kepada Anwar sebelum ini.
“Saya ingin mengukuhkan kepercayaan rakyat terhadap apa saya katakan, daripada awal memang saya tidak mahu tunjuk (SD) sebab saya rasa apa yang penting dalam PRU15 adalah apa kita tawarkan kepada penduduk di Batu.
“Saya tidak mahu bergantung dengan nama orang lain untuk jadikan sebagai tiket menang di Parlimen Batu, saya tidak mahu menggunakan persahabatan saya dengan Presiden PKR sebagai modal PRU15, sebaliknya saya meletakkan rekod perkhidmatan.
“Menang atau kalah saya tetap bersama dengan perjuangan ini, dan ia tidak terhad di dalam organisasi tetapi sebaliknya sebagai perjuangan hidup saya. Oleh itu, saya menunjukkan bukti ini daripada awal menangani SD untuk menunjukkan apa sahaja berlaku saya adalah seanggota daripada PH dan sokongan saya sama dengan parti terutama dalam isu pemilihan Perdana Menteri,” katanya. –UTUSAN