PETALING JAYA: Terdapat beberapa nama yang tewas dalam pilihan raya terdahulu namun tersenarai kembali sebagai calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Malah ada antara mereka yang sudah tewas dua kali berturut-turut dalam pilihan raya, tetapi sinar politik mereka terus bersinar.
Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) antara paling banyak meletakkan calon yang tewas dalam PRU lalu, diikuti dengan Pakatan Harapan (PH).
Tewas dengan jumlah undi yang tipis antara faktor dilihat parti untuk terus memberi peluang kedua kepada mereka.
Malah sebahagian daripada mereka merupakan pemimpin parti yang diharap dapat memainkan peranan lebih besar untuk organisasi dan negara.
Husam Musa
Datuk Husam Musa tewas dua kali berturut-turut dalam pilihan raya lalu, walaupun mewakili parti yang berbeza.
Pemimpin berusia 63 tahun ini bertanding buat kali pertama dalam PRU10 apabila memenangi kerusi Parlimen Kubang Kerian ketika mewakili Pas pada 1999, namun nasibnya berubah selepas itu.
Beliau tidak dicalonkan pada 2004 dan 2008 namun apabila tersenarai semula sebagai calon Pas pada 2013, beliau tewas kepada Tengku Adnan Tengku Mansor di Parlimen Putrajaya dengan majoriti 5,541 undi.
Husam kemudian keluar daripad Pas dan menjadi calon Amanah dan Pakatan Harapan (PH) di Parlimen Kota Bharu, namun beliau tewas pula kepada Datuk Seri Takiyuddin Hassan dengan majoriti 5,869 undi.
Pada PRU kali ini, beliau bakal berdepan dengan Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Pasir Mas dengan meraih majoriti 13,075 dalam PRU14.
Asyraf Wajdi Dusuki
Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki merupakan antara pemimpin politik muda yang popular di negara ini namun beliau tewas dua kali berturut-turut dalam pilihan raya umum lalu.
Ketua Pemuda UMNO ini bertanding buat kali pertama sebagai calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Tumpat pada 2008, namun tewas kepada Kamaruddin Jaffar dengan majoriti 9,377 undi.
Selepas tidak tercalon pada 2013, beliau tersenarai sebagai calon Parlimen Pasir Puteh dalam PRU14, namun tewas kepada Nik Zawawi Salleh dengan majoriti 1,360 undi.
Bagaimanapun, dua kekalahan dalam pilihan raya umum lalu tidak menghalang Asyraf untuk bertanding buat kali ketiga dalam PRU15.
Berbeza dengan pilihan raya terdahulu, beliau tidak lagi bertanding di Kelantan sebaliknya menjadi calon di Parlimen Gerik yang merupakan kubu kuat BN sejak 1974.
Sama ada kehadiran Asyraf dapat diterima atau sebaliknya oleh pengundi Gerik, 19 November ini akan menjadi penentunya.
Idris Ahmad
Datuk Idris Ahmad merupakan pemimpin yang berpengaruh dalam kalangan penyokong Pas namun beliau hanya menang sekali, walaupun telah dicalonkan sebanyak empat kali dalam beberapa pilihan raya umum lalu.
Beliau dicalonkan buat kali pertama di Parlimen Jerlun pada 2004, namun tewas kepada calon BN, Abdul Rahman Ariffin.
Pemimpin berusia 59 tahun itu dicalonkan buat kali kedua di Jerlun pada 2008, namun tewas pula kepada Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Hanya selepas dicalonkan kali ketiga, beliau meraih kemenangan di Parlimen Bukit Gantang pada 2013 walaupun dengan majoriti 986 undi.
Namun, beliau gagal mempertahankan kerusi Bukit Gantang pada 2018 apabila tewas kepada Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dengan majoriti 4,089 undi.
Dalam PRU15 kali ini, Idris akan bertanding di Parlimen Bagan Serai, kerusi yang dimenangi BN sebelum ini, namun beliau berdepan cabaran getir apabila Pas tidak pernah menang di kerusi itu sejak ia dipertandingkan pada 1974.
Seorang lagi pemimpin Pas, Nuridah Mohd. Salleh turut tewas dua kali berturut-turut dalam pilihan raya umum lalu.
Ketua Dewan Muslimat Pas itu bertanding kali pertama di Rompin pada 2013 namun tewas kepada Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis.
Beliau kemudian bertanding di Parlimen Sungai Buloh pada 2018, namun tewas pula kepada R. Sivarasa.
Calon-calon lain yang tewas pada PRU14
BN
Dua bekas menteri besar yang tewas sebelum ini juga kembali bertanding apabila bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dicalonkan di Lumut.
Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pula bertanding di Parlimen Kota Tinggi setelah tewas di Pasir Gudang pada PRU14 lalu.
Selain itu, bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed dicalonkan sekali lagi di Pulai. Dua bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan di Sepanggar dan Datuk Seri Jamil Khir Baharom di Jerai.
Shahril Sufian Hamdan yang tewas di Kuala Langat dalam PRU lalu kini bertanding di Alor Gajah manakala bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim yang tewas kepada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Muar kali ini bertanding di Pagoh berdepan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
BN turut mencalonkan semula Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr. Mah Hang Soon di Tanjong Malim manakala Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon bertanding di Raub setelah tewas di Seremban pada PRU lalu.
Bekas Menteri Pengangkutan, Dauk Seri Liow Tiong Lai juga kembali dicalonkan di Bentong walaupun tewas kepada DAP pada PRU14 lalu.
Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran pula dicalonkan di Sungai Siput, selepas kali terakhir bertanding pada 2008 apabila beliau tewas di Parlimen Kota Raja.
PN
Datuk Dr. Radzi Jidin yang tewas kepada Tan Sri Annuar Musa di Ketereh dalam PRU lalu berubah angin apabila bertanding di Parlimen Putrajaya berdepan Tengku Adnan Tengku Mansor.
Beliau mengharapkan reputasinya sebagai Menteri Pendidikan untuk meraih undi dalam kalangan penjawat awam di Putrajaya.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan pula dicalonkan di Tasek Gelugor, selepas tewas di Pendang dalam PRU14 lalu.
Begitu juga dengan Ketua Penerangan Pas, Khairil Nizam Khirudin yang bertanding di Jerantut, selepas tewas kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Gombak pada PRU lalu.
PH
PH mencalonkan semula Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad di Kuala Terengganu walaupun beliau tewas di kerusi itu pada PRU lalu.
Liew Chin Tong juga dicalonkan semula walaupun tewas kepada Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong dalam PRU lalu, kali ini beliau bertanding di Iskandar Puteri bagi menggantikan veteran DAP, Lim Kit Siang yang bersara tahun ini. – UTUSAN










