SEGAMAT: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Labis, Datuk Chua Tee Yong mengakui kecewa apabila projek pembinaan stadium mini untuk masyarakat Labis tidak diusahakan oleh penyanding kerusi Parlimen tersebut, Pang Hok Liong dari Pakatan Harapan (PH) sejak 2018.
Menurutnya, Kerajaan Persekutuan ketika itu meluluskan peruntukan sebanyak RM5 juta bagi pembinaan stadium mini berkenaan.
“Perdana Menteri pada masa itu (Datuk Seri Najib Tun Razak) memberi peruntukan itu pada April 2018. Malangnya, apabila kita (BN) kalah pada PRU14, projek ini dibatalkan pada Julai 2018.
“Pertanyaan saya kepada Ahli Parlimen ketika itu (Pang Hok Liong), adakah masalah ini dibawa ke Parlimen? Adakah dia bersuara mempertahankan hak anak-anak Parlimen Labis ini?,” katanya ketika ditemui di Bandar Labis, hari ini.
Menurut Tee Yong, apa yang lebih menghairankan, Hok Liong lebih berminat membangkitkan isu nombor plate ‘TMJ’ dan ‘RZ’ di Parlimen sama ada didaftarkan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau belum.
Beliau berkata, di Parlimen Labis, ada banyak kekurangan kemudahan sukan dan sewaktu menjadi Ahli Parlimen Labis sebelum 2018, beliau telah membina beberapa tempat futsal dan sebagainya.
“Namun, saya tahu kita masih kurang tempat berkumpul yang lebih besar dan sesuai. Jadi, idea untuk membina stadium mini adalah pendekatan yang terbaik bagi meningkatkan sosio-ekonomi serta kesihatan rakyat Labis.
“Stadium mini ini kelak akan menjadi ‘one stop sports centre’ bagi penduduk di sini,” katanya yang juga bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Pada PRU-15, beliau dicalonkan semula oleh BN untuk menentang penyandang, Hok Liong (PH) dan Alvin Chang Teck Kiam daripada Perikatan Nasional (PN).
Pada PRU14, Hok Liong memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 3,408 undi. –UTUSAN