IPOH: Datuk Seri Saarani Mohamad mempertahankan dirinya bukan pengkhianat dan bersekongkol dengan Pakatan Harapan (PH) untuk mendapat jawatan Menteri Besar selepas membuat keputusan awal membentuk jajaran baharu politik antara Barisan Nasional (BN) dan PH di Perak.
Sebaliknya, beliau yang juga Pengerusi BN Negeri berkata, keputusan tersebut dibuat bagi memastikan Kerajaan Perak stabil dan ditadbir dengan baik sejurus selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) selesai.
Justeru, tegas beliau, tuduhan sebagai pengkhianat dan komen-komen negatif lain yang dilemparkan termasuk dalam kalangan orang Melayu dan Islam daripada Pas tidak berasas kerana keputusan dibuat demi kepentingan rakyat dan negeri.
“Sebenarnya paling penting bagi saya apabila dapat membuat keputusan betul dan tepat. Itulah keyakinan pada saya. Jadi nak kata saya pengkhianat? Saya bukan masuk DAP, PH, PKR.
“Saya dipelawa membentuk Kerajaan Negeri Perak walaupun saya bersiap sedia hendak jadi pembangkang. Tapi kerana PH ada 24 kerusi dan 26 (kerusi) pada PN menjadikan semuanya adalah 50.
Dengan 50 kerusi mereka patutnya boleh menjadi kerajaan yang kuat kerana mendapat lebih dua pertiga serta tinggalkan saya untuk jadi pembangkang,” kata beliau kepada Mingguan Malaysia di sini kelmarin.
BERSETUJU
Isnin lalu, Saarani mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perak selepas PH bersetuju untuk menerima BN sebagai rakan gabungan bagi membentuk kerajaan negeri.
Gabungan 24 kerusi DUN daripada PH dan sembilan lagi kerusi BN membolehkan kerajaan negeri Perak terbentuk selepas PN yang memenangi 26 kerusi pada PRU15 tidak mempunyai cukup majoriti menubuhkan kerajaan.
Dalam pada itu, Saarani berkata, BN dan PH yang membentuk jajaran politik baharu akan berkompromi dan mencari titik persamaan bagi membangunkan Kerajaan Negeri Perak.
Menurutnya, setakat ini beberapa persetujuan telah dicapai dalam kalangan Ahli Majlis Mesyuarat Negeri (Exco) termasuk melibatkan nama pentadbiran kerajaan di bawah kedua-dua gabungan parti politik itu.
“Walaupun kita berbeza parti dan ideologi politik, ia bukan bermakna kita tidak boleh bersama-sama untuk berkompromi. Paling penting kurangkan perbezaan dan cari titik pertemuan.
ISTILAH
“Setakat ini, Exco bersetuju untuk gunakan perkataan Kerajaan Negeri Perak dan bukannya istilah kerajaan PH plus BN atau sebaliknya. Saya yakin kita boleh berbeza pendapat. Akan tetapi dalam hal-hal membabitkan pembangunan negeri untuk kesejahteraan rakyat, fokus harus diberikan,” katanya.
Kata Saarani, parti itu juga menolak sebarang kebimbangan yang timbul di sebalik kerjasama kedua-dua gabungan tersebut.
“Sekiranya kita mula cari perbezaan dan kesalahan, maka tidak tercapai hasrat untuk bangunkan negeri. Jadi saya tak nampak ia sesuatu merunsingkan walaupun ada sejarah DAP dengan pelbagai parti.
“Saya yakin asas dan prinsip sama boleh diguna pakai untuk negeri Perak,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Saarani ketika mengulas isu pembinaan lapangan terbang antarabangsa Seri Iskandar di Ipoh berkata, usaha tersebut akan diteruskan selepas ini di bawah pentadbirannya.
Menurutnya, pembinaan landasan baharu itu merupakan satu keperluan bagi menampung penerbangan terus dari beberapa destinasi termasuk Singapura.
“Kita dapati landasan tidak cukup. Apabila saya sebut dalam Pelan Perak Sejahtera kita nak wujudkan lebih banyak industri dengan membina banyak kilang dan peluang pekerjaan, kita perlukan fasiliti antarabangsa bagi membawa keluar produk hasil Perak.
“Walaupun kita dalam masa yang sama sedang menambah baik Pelabuhan Lumut, seandainya ada lapangan terbang antarabangsa, ia jauh lebih baik kerana pelabur yakin disebabkan kemudahan yang ada. Kerana itu tidak kira siapa pun kerajaan, sebenarnya keperluan membina lapangan terbang antarabangsa itu ada,” kata beliau. – MINGGUAN










