ROMPIN: Isyarat Pakatan Harapan (PH) menyokong calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini jelas kelihatan apabila calon parti itu tidak hadir bersama penyokongnya pada majlis penamaan calon hari ini.
Calon PH DUN Tioman, Mohd. Fadzli Mohd. Ramly hanya menghantar wakil bagi mencabut undi dalam proses penamaan calon yang ditangguhkan ekoran kematian calon Perikatan Nasional (PN), Md. Yunus Ramli.
Tinjauan mendapati hanya kumpulan penyokong BN dan PN hadir pada proses penamaan calon DUN di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah Rompin di sini hari ini.
Menurut sumber, PH membuat keputusan untuk menyokong calon daripada BN dalam pilihan raya DUN Tioman dalam usaha membentuk kerajaan negeri bersama BN.
“Ya, isyarat (PH akan sokong BN) kita akan bersama dan menyokong BN bagi membentuk kerajaan negeri pula selepas di Pusat.
“Kita juga menyiapkan semua dokumen diperlukan dalam proses seterusnya bagi menyokong kerajaan BN-PH,” katanya di sini hari ini.
Menurut sumber itu, satu sidang akhbar juga akan diadakan dalam tempoh terdekat bagi menyatakan sokongan PH terhadap BN.
Pada PRU15, Sabtu lalu menyaksikan buat pertama kali dalam sejarah kerajaan negeri gagal dibentuk kerana tiada parti mempunyai majoriti.
Dalam tsunami politik Melayu itu menyaksikan PN menang 17 kerusi manakala BN menang 16 kerusi dan PH mendapat lapan kerusi. –UTUSAN