PRU15: Parlimen Padang Serai ditangguh? - Utusan Malaysia

PRU15: Parlimen Padang Serai ditangguh?

Parlimen Padang Serai mungkin ditangguhkan ekoran kematian calon PH, M. Karupaiya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Padang Serai kemungkinan ditangguhkan ke suatu tarikh baharu selepas calon Pakatan Harapan (PH), M. Karupaiya meninggal dunia kelmarin.

Penangguhan ini kemungkinan besar berlaku berdasarkan laman web pendaftaran pemilih ‘Pilihan Raya Umum Ke-15 bagi P.017 Padang Serai tertera perkataan DITANGGUHKAN.

Ia dikuatkan lagi berdasarkan Peraturan 11 (6) Peraturan-Peraturan Pilihan (Perjalanan Pilihan Raya) 1981, yang menyatakan pegawai pengurus hendaklah memaklumkan kepada SPR sebelum SPR mengambil tindakan membatalkan tarikh pengundian dan umumkan tarikh penamaan calon baharu .

SPR pula dalam kenyataan semalam berkata, pihaknya akan mengadakan sidang akhbar hari ini bagi memutuskan perjalanan PRU15 bagi kerusi Parlimen Padang Serai sama ditangguhkan atau meneruskannya.

Bagaimanapun, calon-calon lain bagi kerusi Parlimen itu masih meneruskan kempen seperti biasa yang berbaki sehari memandangkan sudah menyusun jadual masing-masing bagi mendekati pengundi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Azman Nasrudin berkata, beliau menyambung kempen hariannya seperti biasa selepas selesai memberi penghormatan terakhir kepada mendiang M. Karupaiya.

“Saya akan teruskan aktiviti berkempen bagi mengekalkan momentum dalam memenangi hati pengundi seperti yang dilakukan sejak hari penamaan calon pada 5 November lalu,” katanya ketika dihubungi.

Semalam, Karupaiya yang juga penyandang kerusi Parlimen Padang Serai menghembuskan nafas terakhir pada pukul 2.27 petang di Hospital Kulim selepas beberapa hari dirawat akibat muntah dan penat.

Padap PRU14, bekas pegawai tentera itu menang setelah memperolehi 31,724 undi mengatasi calon Pas, Muhamad Sobri Osman yang mendapat 22,911 undi dan Datuk Dr. Leong Yong Kong daripada Barisan Nasional (BN) yang memperoleh 15,449 undi.

KEPUTUSAN

Sementara itu, calon parti Warisan, Mohd. Bakhri Hashim berkata, dia mengambil keputusan untuk menangguhkan kempen di kawasan itu sementara menunggu keputusan rasmi daripada SPR yang bermesyuarat esok.

“Saya tangguh seketika kempen-kempen di sini kerana belum mengetahui kedudukan Parlimen Padang Serai, jadi menjelang hari pengundian Sabtu ini saya membuat keputusan untuk bantu kempen di kawasan lain yang ditandingi calon Warisan,” katanya.

Bagi calon bebas, Sreanandha Rao, beliau turut membuat keputusan menangguhkan sementara kempen sejak menerima berita kematian Karupaiya sehingga selesai upacara pengebumian yang dijadualkan hari ini.

“Buat masa ini saya akan menunggu pengumuman SPR dan sekiranya proses penamaan calon perlu dilakukan semula, saya akan terus bertanding sebagai calon bebas di kawasan ini untuk hari pengundian seterusnya,” katanya.

Selain mereka, pertembungan enam penjuru di Parlimen Padang Serai turut melibatkan calon daripada BN, Datuk C. Sivaarrajh dan calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Hamzah Abd. Rahman.

Terdahulu, Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, pihaknya akan mengadakan Mesyuarat Khas pada Jumaat ini bagi membincangkan penetapan tarikh-tarikh penting urusan PRU15 Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.017 Padang Serai.

Kata beliau, SPR menerima Writ Pilihan Raya yang dipulangkan oleh Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya berkenaan menyatakan fakta berkaitan kematian calon berkenaan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN