‘PRU15 paling tenang, tak perlu tekan butang panik’ - Utusan Malaysia

‘PRU15 paling tenang, tak perlu tekan butang panik’

MOHAMAD HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) tidak berdepan sebarang tekanan dan meng­anggap tempoh hampir se­ming­gu kempen Pilihan Ra­ya Umum Ke- 15 (PRU15) kali ini adalah paling tenang berbanding pilihan raya umum sebelum ini.

Sehubungan itu, kata Tim­­balan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, tiada keperluan untuk parti itu menekan ‘butang panik’ walaupun ada berlaku ‘gegaran’ membabitkan beberapa kawasan sebelum ini dan parti lawan gigih mengitar semula isu-isu lama di media sosial.

Beliau yang popular de­ngan panggilan Tok Mat ber­kata, daripada gaya baha­sa tubuh orang ramai pun su­dah lain apabila mereka di­dekati oleh calon dan jentera parti itu berbanding pilihan raya umum lalu.

“Dahulu waktu nampak jen­tera pakai baju BN, ada yang cepat-cepat buat tak nampak atau menyorok. Ki­ni mereka mesra. Alhamdu­li­llah, sekarang keadaan ber­beza dan kita boleh lihat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka.

“Kita tidak nafikan selepas penamaan calon memang ada gegaran. Bukan UMNO sahaja tapi parti lain juga.

“Cuma dalam tempoh sekarang semua gegaran dah ok, tiada apa-apa lagi. Itu semua biasalah. PRK pun ada gegaran.

“Kita telah gerakkan pasukan pengurusan supaya dapat tangani masalah setempat dan kawasan masing-masing. Malah saya setiap malam menerima laporan daripada war room berkenaan perkembangan semasa.

BUTANG PANIK

Setakat ini kita okey dan tiada perkara-perkara yang menyebabkan kita perlu tekan butang panik,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Keadaan tenang tersebut, kata calon BN Parlimen Rembau itu, membolehkan parti berkenaan terus fokus kepada gerak kerja bagi memastikan kemenangan dalam PRU15.

Sebelum ini, Timbalan Pre­siden PKR, Rafizi Ramli menyatakan keyakinan tinggi bahawa gabungan Pakatan Harapan (PH) mampu menawan sekurang-kurangnya 90 kerusi parlimen dalam PRU15.
Keyakinan itu berdasarkan tahap sokongan semasa rakyat pelbagai kaum yang sama seperti minggu ketiga sebelum PRU14 pada 2018.

Mohamad dalam masa sama berkata, BN juga telah mengenal pasti kawasan yang dikategorikan sebagai putih, kelabu putih dan kelabu hitam sebagai sebahagian strategi parti itu.

“Kita tiada tekanan sebab kita tahu tempat mana boleh menang dan kita tahu tempat mana yang dikategorikan sebagai kawasan putih, kelabu putih atau kelabu hitam.

“Yang mana kerusi kita boleh pertahankan kita pertahankan dan yang mana kita boleh rampas semula kita rampas semula dengan usaha keras,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, beliau tidak dapat mendedahkan anggaran kerusi yang mampu dimenangi BN setakat ini.

“Saya belum dapat maklum balas dan Selasa lalu saya sudah berhubung dengan dua Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri. Yang lain kita belum terima lagi dan kita tidak boleh nak buat kesimpulan sehingga hujung minggu.

“Apabila saya dapat maklum balas dan menerima laporan daripada pelbagai pihak, di situ nanti barulah saya boleh buat perbandingan dan simpulkan keadaan semasa.

“Kalau ia mencemaskan, saya akan gerakkan tenaga kerja dengan lebih kuat. Sekirannya terkawal sekalipun, kita akan teruskan kekalkan gerak kerja sampai hari mengundi,” ujarnya. – UTUSAN

 Wawancara penuh di muka 12 dan 13

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN