SHAH ALAM: Polis Selangor sudah membuka 19 kertas siasatan dan menahan lima individu sepanjang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sehingga semalam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya menerima sebanyak 253 laporan polis dalam tempoh berkenaan setakat ini.
“Jumlah itu meliputi 26 laporan polis dan tiga kertas siasatan yang baru dibuka semalam.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk melibatkan tangkapan seramai lima individu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas beliau, sebanyak 2,931 kempen dan ceramah diadakan bagi parti bertanding sejak 5 November lalu.
“Jumlah itu termasuk 70 ceramah dan 105 kempen memiliki permit baharu semalam.
“Polis sentiasa membuat pemantauan di setiap lokasi bagi memastikan setiap kempen yang dijalankan mematuhi undang-undang ditetapkan,” ujarnya.
Tambah Arjunaidi, seramai 16,799 warga polis Selangor selesai menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di 93 saluran.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan calon bertanding dan masyarakat supaya mematuhi undang-undang yang ditetapkan sepanjang PRU15.
“Kita perlu mengelak membuat sebarang provokasi dan perkara yang boleh menimbulkan insiden tidak diingini dan menggugat ketenteraman awam,” katanya. –UTUSAN