Prolintas dan MBSA wujud kawasan selamat untuk kenderaan

Prolintas dan MBSA wujud kawasan selamat untuk kenderaan semasa banjir

MOHD. Rashidi (tiga dari kanan) dan Azmee (tiga dari kiri) menunjukkan MoU yang dimeterai bagi mewujudkan kawasan selamat untuk kenderaan menerusi laluan khas sewaktu banjir di Wisma MBSA, Shah Alam, Selangor hari ini. -ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Syarikat Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (Prolintas) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bekerjasama mewujudkan kawasan selamat untuk 500 buah kenderaan di sepanjang Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) jika berlaku banjir besar di kawasan Seksyen 25 Taman Sri Muda di sini seperti pada 18 Disember tahun lalu.

Menurut Timbalan Datuk Bandar MBSA, Mohd. Rashidi Ruslan, tindakan yang akan dilakukan adalah membina tanjakan di laluan kecemasan kira-kira 20 meter dari kawasan Taman Sri Lembayung ke kawasan Rehat & Rawat Tol Taman Sri Muda.

“Pihak MBSA turut membina satu unit pintu pagar pada kedudukan pagar antara laluan sikal arah Taman Sri Lembayung dan membuat penyelenggaraan berkala terhadap tanjakan tersebut.

“Ia bagi memastikan laluan kecemasan tersebut boleh dilalui oleh kenderaan serta kenderaan penyelamat dan membantu mengawal trafik semasa penggunaan laluan kecemasan tersebut,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Pelan Tindakan Banjir Di Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) di Antara MBSA Dan Prolintas diwakili Pengurus Besar Operasi Lebuhrayanya Azmee Nin di Wisma MBSA hari ini.

Mohd. Rashidi berkata, Prolintas pula akan bekerjasama untuk memberikan laluan kepada kenderaan dari kawasan yang terjejas banjir luar biasa untuk menggunakan laluan kecemasan yang telah dibina untuk ke laluan LKSA.

“Pihak Prolintas akan memastikan petugas-petugasnya dalam keadaan siap siaga serta boleh dihubungi pada bila-bila masa dan membantu mengawal lalu lintas di kawasan atau laluan lebuh raya semasa banjir luar biasa.

“Selain itu, pihak Prolintas juga akan membenarkan kenderaan dari kawasan terjejas banjir yang menggunakan laluan kecemasan tersebut untuk menggunakan laluan LKSA ke tempat selamat tanpa pengenaan tol dan sebaliknya bagi kenderaan penyelamat ke kawasan terjejas banjir,”ujarnya.

Mengulas lanjut beliau berkata, laluan tersebut juga diwujudkan bagi kerja penyelenggaraan untuk memastikan aliran air lancar dan tiada limpahan berlaku di kawasan perumahan bersebelahan laluan lebuhraya selain membina struktur bagi menghalang kemasukan air parit utama ke LKSA di Seksyen 23 di sini dan mengurus aliran air dari LKSA untuk mengalir terus ke sungai atau ke sistem perparitan dengan sempurna dan lancar bagi mengelakkan air bertakung di permukaan jalan.

Beliau menambah, kerjasama di antara pihak MBSA dan Prolintas tersebut merupakan inisiatif pihak MBSA untuk memastikan langkah-langkah yang diambil ketika bencana banjir di kawasan
sekitar dapat dilaksanakan dengan lebih komprehensif. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya