Polis guna dron pantau lokasi panas pusat penamaan calon - Utusan Malaysia

Polis guna dron pantau lokasi panas pusat penamaan calon

HAZANI GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semua calon dan penyokong parti politik diberi amaran tidak mencetuskan  provokasi di 222 pusat penamaan calon di seluruh negara hari ini bagi memastikan tiada insiden buruk  sepanjang tempoh itu berlangsung.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Operasi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, PDRM akan menggerakkan aset dron di semua kawasan ‘titik panas’ PRU15 yang dikenal pasti bagi menjalankan pemantauan.

Menurut beliau, selain itu, sebanyak 31,183 petugas beruniform dan tidak beruniform akan ditempatkan di semua pusat-pusat penamaan calon bagi menjaga keselamatan serta mengawal situasi sepanjang proses itu berlangsung.

“PDRM akan bersiap siaga bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terjaga sepanjang tempoh penamaan calon hari ini.

“Semua pihak yang terlibat diingatkan memberi kerjasama dalam mematuhi undang-undang dan mengelak daripada melakukan provokasi,” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Polis Negeri dan Ketua Polis Daerah di beberapa kawasan telah membuat pemakluman mengenai beberapa jalan di kawasan mereka ditutup dan dilencongkan bagi memastikan aliran trafik berjalan lancar sempena hari penamaan calon hari ini.

Pemakluman berkenaan bagi membolehkan orang ramai dan pengguna jalan raya merancang perjalanan dengan merujuk pada kenyataan penutupan dan lencongan jalan bagi memberi laluan proses penamaan calon itu.

Pada 30 Oktober lalu, PDRM mengenal pasti kurang daripada 100 kawasan berstatus ‘hotspot’ pada PRU15.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani ketika itu berkata, melalui risikan, beberapa kawasan agak hangat dari segi kempen, sentimen emosi dan seumpamanya. – UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN