PN tak raikan kepelbagaian kaum di Kota Melaka - Poay Tiong - Utusan Malaysia

PN tak raikan kepelbagaian kaum di Kota Melaka – Poay Tiong

KHOO Poay Tiong (kiri) mengedarkan risalah kepada pengundi di sekitar Parlimen Kota Melaka, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Tindakan Perikatan Nasional (PN) meletakkan calon Melayu daripada Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) di Parlimen Kota Melaka bagi menarik undi Melayu didakwa sebagai tidak meraikan kepelbagaian kaum di Melaka.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Naib Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, tindakan itu juga dikhuatiri menggugat keharmonian kaum serta memberi gambaran salah terhadap PN yang hanya menumpukan kepada kaum-kaum tertentu sahaja.

Jelas penyandang kerusi berkenaan, ini kerana tujuan bertanding dalam pilihan raya adalah untuk memperoleh sokongan segenap lapisan masyarakat sama ada Melayu, Cina dan India.

“Kita mahu sokongan semua kaum untuk menyatu-padukan rakyat. Apabila saya menjadi ahli parlimen, saya berkhidmat untuk semua kaum dan bukannya khusus untuk satu kaum sahaja.

“Jika inilah strategi mereka, saya rasa kecewa kerana kita menceburi arena politik untuk mengukuhkan perpaduan rakyat. Ini bukan politik yang sihat kerana politik yang baik adalah menjaga semua kaum.

“Pada pandangan saya, dapatkan sokongan daripada semua kaum dahulu akan menentukan arah tujuan khidmat kita yang secara tidak langsung membawa kepada pengukuhan perpaduan,” katanya ketika ditemui.

GERAKAN

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, keputusan Gerakan meletakkan calonnya, Suhaime Borhan di Parlimen berkenaan disebabkan peningkatan jumlah pengundi Melayu yang mencecah 43 peratus daripada keseluruhan 164,140 orang.

Sementara itu, mengenai potensi kemenangan PN dengan strategi berkenaan, Poay Tiong mengulangi pendiriannya bahawa wakil rakyat wajib berkhidmat untuk semua bangsa.

Kata calon Pakatan Harapan (PH) itu, beliau yakin masyarakat berbilang kaum akan memberi sokongan padu kepada calon yang menjalankan khidmat dengan jujur dan berdedikasi.

“Hari ini pengundi lebih mementingkan wakil rakyat yang betul-betul boleh bantu mereka. Pengundi semakin bijak kerana walaupun mereka menyokong sesebuah parti, tetapi pada masa sama menuntut parti menawarkan calon yang boleh berkhidmat untuk rakyat.

“Tidak boleh ambil mudah atau sambil lewa kerana fikir rakyat akan ikut logo, maka boleh letak sembarangan calon. Letak orang (calon) yang betul dan barulah rakyat akan memilih,” ujarnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×