PKR yakin mampu menang 90 kerusi Parlimen - Rafizi - Utusan Malaysia

PKR yakin mampu menang 90 kerusi Parlimen – Rafizi

RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) yakin  meraih 80 hingga 90 kerusi Parlimen di seluruh negara pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, keyakinan itu berdasarkan tahap sokongan semasa rakyat pelbagai kaum yang sama seperti minggu ketiga sebelum PRU14 pada 2018.

Menurut beliau, perkembangan itu sekali gus membolehkan PH berada di kedudukan paling hadapan berbanding musuh-musuhnya.

“Dengan sokongan sebegitu, kita mampu mendapat sekurang-kurangnya antara 80 hingga 90 kerusi Parlimen tetapi itu semua bergantung kepada kempen.

“Kalau (sokongan) lebih baik, maka mungkin jumlah sasaran itu dapat dilonjakkan sehingga ke lebih 90 kerusi,”  kata beliau pada sidang akhbar di Bilik Gerakan Utama PKR Parlimen Pandan di Taman Seraya di sini hari ini.

Rafizi berkata, kali ini PH akan mengulangi strategi sama seperti PRU lalu bagi meyakinkan pengundi atas pagar Melayu agar terus mengundi mereka.

Katanya, strategi itu ialah dengan memainkan sentimen bahawa undi Pas adalah satu pembaziran dan tidak akan membawa sebarang perubahan kepada rakyat serta negara.

SOKONGAN

“Sebab itu pada PRU14, sokongan pengundi di pantai barat terhadap Pas menurun pada minggu pertama dan kedua berkempen seolah-olah persaingan hanya melibatkan PH dan Barisan Nasional (BN).

“Jika strategi ini berjaya maka kita dapat mengalihkan sekurang-kurangnya empat peratus pengundi Melayu kepada PH dan melepasi sasaran 90 kerusi yang ditetapkan sekali gus menjadikan kita sebagai blok terbesar di Semenanjung,” katanya.

Rafizi turut membayangkan, PH boleh membentuk kerajaan yang stabil selepas PRU15 dengan gabungan parti-parti di Sabah dan Sarawak.

Dalam perkembangan sama, beliau tidak mahu dilihat bongkak atau terlalu yakin sepanjang berkempen, sebaliknya memilih pendekatan sopan bagi menambat hati rakyat di kawasan Pandan.

Katanya, penampilan berbeza itu adalah  tradisinya semasa memenangi kerusi itu pada PRU13.

“Pendekatan ini turut saya sampaikan kepada seluruh jentera PH, jangan kita bongkak dan terlalu yakin ketika berkempen. Kalau kita berdisiplin, insya-Allah kita berpeluang mengatasi calon lain,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya