Pengusaha belacan mahu bangkit semula

Pengusaha belacan mahu bangkit semula

MUHAMMAD Aimy Shahril Mat Ali menjemur belacan sebelum dipasarkan di Kampung Hujung Tanjung, Seberang Takir, Kuala Nerus, Terengganu, hari ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Seorang pemuda yang mengusahakan perniagaan belacan mahu bangkit semula membina perniagaannya setelah terjejas akibat penularan wabak Covid-19 sejak dua tahun lalu.

Muhammad Aimy Shahril Mat Ali, 21, dari Kampung Hujung Tanjung, Seberang Takir di sini sebelum ini pernah tular dalam media sosial setelah meraih pendapatan lebih RM50,000 sebulan hasil perusahaan belacan.

Menurutnya, belacan keluarannya yang berjenama “Belacan Sri Tanjung Emas’ didapati kembali mendapat sambutan di pasaran selepas fasa peralihan endemik pada Mac lalu.

Katanya, dia dapat menghasilkan sebanyak satu tan atau hampir 2,500 keping belacan dalam masa sehari pada musim ikan bilis dan udang sekarang.

“Belacan yang saya keluarkan ini dijual kepada peniaga di Pasar Kedai Payang dan pemborang belacan di negeri ini.

“Pada masa ini, permintaan belacan semakin menggalakkan dan perniagaan saya juga kembali rancak dengan pendapatan lebih RM20,000 sebulan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Muhammad Aimy Shahril memberitahu, penghasilan belacan mengambil masa sehingga seminggu bermula daripada proses merendam dalam air garam, menjemur disusuli kerja-kerja pembungkusan.

“Sekiranya cuaca mengizinkan dan bekalan bahan mentah tidak terputus, saya dapat menghasilkan sebanyak tan belacan sehari,’ ujarnya.

Tambahnya, walaupun dia hanya berpendidikan sehingga darjah lima sahaja tetapi perniagaan yang diwarisi daripada arwah ibu bapanya itu akan sentiasa dipelihara.

Katanya, perniagaan tersebut diteruskan tanpa sebarang pinjaman bank atau mana-mana agensi kerana tidak mahu berhutang atau menanggung komitmen bulanan bagi mengelak risiko.

“Sejak lima tahun lalu, saya meningkatkan kemudahan di kilang kecil ini secara berperingkat seperti membeli mesin, peti ais dan membina bilik tambahan bagi menampung pengeluaran belacan,” katanya.

Selain itu, menurutnya, dia juga menjalankan perniagaan ikan bilis, ikan kering dan budu yang mendapat sambutan di Lembah Klang, Pahang dan Pulau Pinang. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya