Pengantin teruja, nikah serentak hari mengundi

Pengantin teruja, nikah serentak hari mengundi

AMIERA NABILA MOHD. SHAHRIN dan suami Mohammad Ashraf Almas bersama-sama ahli keluarga selepas mengundi di Dewan Kampung Melayu Majidee Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pengantin baharu, Amiera Nabila Mohd. Shahrin, 28, teruja meraikan hari pernikahan dengan jejaka pilihan, Mohammad Ashraf Almas, 29, warga Afghanistan serentak dengan tarikh rakyat Malaysia mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menurut wanita berasal dari Kampung Melayu Majidee itu, tarikh istimewa berkenaan akan dikongsi bukan sahaja oleh mereka, malah, jutaan rakyat Malaysia lebih-lebih lagi oleh parti politik yang berjaya menubuhkan kerajaan.

“Rasa istimewa sedikit kerana berkongsi tarikh yang sama dengan kerajaan baharu. Tetapi, pada awalnya, sedikit terkejut kerana saya dan keluarga bercadang untuk melangsungkan majlis resepsi di dewan ini hari ini.

“Namun, apabila dimaklumkan PRU15 dijadualkan hari ini, dengan dewan ini (Dewan Kampung Melayu) juga dijadikan pusat mengundi, saya terpaksa menukar venue majlis.

“Alhamdulillah, mujur masih ada lokasi dewan yang sesuai,” katanya yang hadir mengundi di Dewan Kampung Melayu sambil ditemani suami dan ahli keluarga lain yang turut melaksanakan tanggungjawab mereka.

Bagaimanapun,  Amiera Nabila mengakui agak sedih apabila ramai rakannya tidak dapat menghadiri sambutan hari istimewanya kerana mempunyai tanggungjawab kepada negara di negeri masing-masing.

“Ahli keluarga semua ada datang, cuma ada kawan-kawan di negeri-negeri lain tidak dapat hadir kerana mereka juga mengundi,” katanya yang akan terus pulang ke rumah untuk mempersiapkan diri bagi majlis resepsi pada waktu malam nanti.

Dalam pada itu, Amiera Nabila turut berharap kerajaan baharu yang diberi mandat berupaya meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat termasuk golongan muda di negara ini.

“Keadaan ekonomi semasa agak mencabar, dengan harga barangan keperluan meningkat. Jadi, harapan saya adalah kerajaan baharu akan dapat mengawal perkara itu, selain bawa pembangunan kepada negara,” katanya yang merupakan seorang pereka grafik di sebuah syarikat pembinaan swasta. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN