ALOR SETAR: Penuntut dari pedalaman Kemboja terpilih menerima anugerah tertinggi Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU) pada Majlis Konvokesyen Kedua institusi pengajian tinggi itu di sini.
Sapirin Soprey, 26, dari Krouch Chhmer menerima dua anugerah iaitu Anugerah Khas Sharifah Rokiah dan Anugerah Khas Naib Canselor.
Graduan Pendidikan dan Sains Sosial itu berkata, anugerah tersebut penghargaan besar dalam hidupnya yang mahu mengeluarkan keluarganya daripada kemiskinan.
“Saya dari keluarga susah malah perkampungan saya sendiri penduduknya miskin. Sebelum ke AIU saya tinggal di rumah anak yatim 10 tahun demi mendapatkan pendidikan yang baik.
“Berpeluang belajar di AIU adalah perkara yang sangat bermakna dan saya belajar bersungguh-sungguh demi tidak menghampakan keluarga,” katanya ketika ditemui selepas majlis tersebut.
Menurut anak petani itu, antara resipi untuk cemerlang termasuk memperoleh kelas pertama dalam pengajiannya itu adalah menyeimbangi waktu belajar dan melakukan kerja-kerja khidmat masyarakat.
“Saya banyak menyertai aktiviti kemasyarakatan iaitu menyumbang kepada komuniti di bandar ini dan kawasan pedalaman. Apabila pulang ke negara asal nanti saya akan teruskan perkara itu kerana ia teras yang kami belajar sepanjang pengajian,” katanya yang ingin menyambung pengajian ke peringkat sarjana.
Seramai 89 graduan Perniagaan dan Sains Sosial (SBSS), Pendidikan dan Sains Sosial (SEHS) dan Pusat Pengajian Asasi menerima ijazah dan sijil pada konvokesyen kedua itu.
Sementara itu, Naib Canselor AIU, Prof. Emeritus Datuk Dr. Abd. Aziz Tajuddin berkata, AIU komited dengan falsafah untuk merapatkan jurang dan menginspirasikan minda melalui jurusan berteraskan perniagaan sosial.
“Misi AlU mencipta peluang dan menyediakan pelajar kepada dunia yang berkembang. Di AlU, kami menghormati perbezaan individu dan pencapaian kolektif dengan mengamalkan nilai teras 5A iaitu aqidah, akhlak, adab, amanah dan amalan,” katanya.- UTUSAN










