PDRM digesa siasat Peguam Negara - Utusan Malaysia

PDRM digesa siasat Peguam Negara

MANISEGARAN (paling kanan) ketika sidang akhbar selepas membuat laporan di IPD Dang Wangi petang tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa menyiasat Peguam Negara (AG), Tan Sri Idrus Harun yang didakwa melindungi Datuk Mohd. Nazlan Mohd Ghazali berkaitan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap bekas Hakim Mahkamah Tinggi.

Presiden Malaysian International Humanitarian Welfare Foundation (MIHWF), Datuk M. Manisegaran mendakwa, tindakan itu dilihat seolah-olah melengahkan pendakwaan terhadap Mohd. Nazlan adalah sangat mengecewakan selain akan membawa persepsi negatif terhadap sistem keadilan negara.

“Sedangkan, pada 23 April lalu, saya ada terbaca di portal media bahawa Ketua Pesuruhjaya (KP) SPRM, Tan Sri Azam Baki ada mengesahkan wujud siasatan terhadapnya (Mohd. Nazlan).

“Kita juga menggesa polis menyiasat kesahihan kertas dokumen yang tular dalam sebuah portal kerana tiada penafian atau pengesahan oleh SPRM,” katanya selepas membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini hari ini. 

Beliau hadir membuat laporan pada pukul 2 petang dan proses itu berjalan kira-kira 30 minit.

Dalam pada itu, Manisegaran turut mendakwa, Mohd. Nazlan melanggar etika kehakiman apabila beliau gagal mengisytiharkan peranan beliau dalam SRC International Sdn Bhd. dan 1Malaysian Development Bhd.. 

“Pada 29 September lalu, saya ada terbaca di sebuah portal melaporkan KP SPRM mengesahkan siasatan (Mohd. Nazlan) dilengkapkan pada Mei, namun dipulangkan semula pada awal September sebelum dilengkapkan dan dihantar semula pada Pejabat Peguam Negara.

“Jika kertas siasatan yang tular itu benar, Mohd. Nazlan membuat kesalahan di bawah Seksyen 220 Kanun Keseksaan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menggesa PDRM melakukan siasatan segera terhadap dakwaan-dakwaan tersebut kerana timbul persoalan dalam masyarakat berkaitan isu tersebut. 

“Kita mahukan jawapan berkaitan status siasatan , ada atau tidak mengenai Mohd. Nazlan kerana ini melibatkan sistem kehakiman,” tegasnya.

23 April lalu, KP SPRM, Azam mengesahkan membuka kertas siasatan terhadap Mohd. Nazlan berhubung dakwaan wang yang tidak dapat dijelaskan dalam akaunnya.

Ini susulan satu artikel pada 20 April lalu yang diterbitkan oleh sebuah blog mendakwa Mohd. Nazlan sedang disiasat kerana RM1 juta yang tidak dapat dijelaskan dalam akaunnya.

Artikel itu mendakwa wang itu masuk semasa Mohd. Nazlan menjadi peguam dan setiausaha syarikat bagi Kumpulan Maybank.

Mohd .Nazlan membuat laporan polis terhadap blog berkenaan serta menafikan tuduhan yang didakwa berniat jahat, tidak berasas dan bertujuan mencemarkan kredibilitinya sebagai hakim.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia berkata, laporan polis telah dibuat supaya siasatan dapat dijalankan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, serta peruntukan lain yang berkaitan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya