PETALING JAYA: Kerajaan perlu menoktahkan segera isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) kerana ia tidak mematuhi Akta Pendidikan 1996.
Antara faktor utama UEC tidak diiktiraf kerana sijil itu dikeluarkan pihak persatuan sekolah menengah persendirian Cina dan bukan oleh kerajaan.
Ini sama seperti Sijil Tinggi Agama yang dikeluarkan pihak sekolah agama, apabila sijil itu diterima di universiti Asia Barat tetapi tidak diiktiraf untuk kemasukan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) negara ini.
Lembaga Peperiksaan kemudian memperkenalkan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) sekali gus memberi peluang kepada pelajar aliran agama menyambung pengajian di IPTA.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Felo Majlis Profesor Negara, Prof. Emeritus Dr. Teo Kok Seong berkata, jika UEC diiktiraf tetapi pengeluaran sijil terus dikelola secara persendirian, ia melanggar Akta Pendidikan.
“Dalam sistem pendidikan negara, ada tiga kategori iaitu institusi pendidikan kerajaan, institusi pendidikan bantuan kerajaan dan institusi pendidikan swasta, jadi sekolah persendirian Cina adalah institusi pendidikan swasta.
“Namun, kalau UEC diiktiraf, ini seolah-olah menunjukkan sijil itu adalah sijil yang dikeluarkan kerajaan dan sekolah persendirian Cina jadi sekolah awam. Ini macam nak diiktiraf daripada swasta kepada awam pula.
“Kalau nak diiktiraf, kenapa tak awal-awal masuk sekolah awam,” katanya ketika dihubungi semalam.
Menurut beliau, UEC juga tidak mematuhi bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama dan kurikulum kebangsaan yang termaktub di bahagian IV, sistem pendidikan kebangsaan dalam Akta Pendidikan 1996.
“UEC hanya menggunakan bahasa Cina dan Inggeris serta silibus China, sebab itu ia diiktiraf di China, Taiwan dan Hong Kong serta beberapa negara asing lain.
“Namun, ia bertentangan secara terang-terangan dengan sistem pendidikan negara kerana mereka tidak guna bahasa Melayu dan kurikulum nasional,” katanya.
DIGESA
Bagaimanapun, katanya, walaupun sekolah-sekolah persendirian Cina telah digesa untuk merombak sijil tersebut, UEC masih lagi mendapat sokongan oleh masyarakat Cina.
“UEC ini tahapnya tinggi sedikit daripada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetapi bawah daripada Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
“Kebanyakan anak-anak Cina ada UEC kerana ibu bapa tidak yakin dengan sistem pendidikan kebangsaan yang dikatakan terlalu Malay-centric (berpaksikan Melayu).
“Mereka pula taksub dengan budaya Cina, jadi mereka mahukan aliran bahasa Cina, sebab itu mereka tidak boleh terima sistem pendidikan lain,” katanya.
Justeru, beliau meminta supaya kerajaan mencari penyelesaian dan menggesa ahli-ahli politik tidak memainkan lagi isu UEC.
“Kerajaan perlu membuat pertimbangan pendidikan bukan pertimbangan politik. Saya percaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pun tidak menyokong UEC tetapi beliau dalam keadaan terperangkap.
“Kerajaan perlu tolak terus UEC. Ahli-ahli politik pun tak bolehlah letak manifesto pasal UEC sehingga memberi harapan palsu dan akhirnya menjerat sendiri. Ini dah macam kaduk naik junjung kerana main politik. Kerajaan sepatutnya awal-awal lagi menoktahkan isu ini,” katanya. – UTUSAN










