KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menuduh Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berbohong berhubung dakwaan dirinya dalang utama Langkah Sheraton.
Sebaliknya, Mahathir berkata, Muhyidin yang memulakan dahulu gerakan untuk menjatuhkannya.
“Tidak masuk akal kalau saya buat begitu, tak kan saya nak buat benda hingga saya hilang jawatan?
“Muhyiddin cakap karut, sebab dia nak jadi Perdana Menteri dan jatuhkan saya,” katanya kepada pemberita selepas berucap dalam Forum Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 2022 di Pusat Konvensyen Berjaya Times Square di sini hari ini.
Kelmarin, Muhyiddin yang juga Perdana Menteri Ke-8 mendedahkan Mahathir memulakan gerakan untuk Bersatu keluar daripada Pakatan Harapan (PH).
Namun, katanya, pemimpin itu membuat pusingan apabila Majlis Presiden PH memutuskan untuk terus menyokong beliau.
Tuduhan itu bagaimanapun dibidas Timbalan Ketua Peguam Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali.
Katanya, semua pihak mesti berfikiran logik menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kerana ramai pemimpin yang akan mengeluarkan kenyataan untuk terus kekal relevan dengan menyalahkan Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) itu. –UTUSAN