PORT DICKSON: Tawaran hadiah utama berupa tiga buah kereta menjadi tarikan kepada orang ramai yang mengunjungi Minggu Amanah Saham Malaysia (MSAM) 2022 yang berlangsung 24 November lalu hingga 30 November depan.
Tiga buah kereta yang menanti pengunjung yang bertuah itu adalah kereta Hyundai Kona Electric Lite bernilai lebih RM156,000, Toyota Corolla Cross Hybrid Electric bernilai hampir RM140,000 dan Perodua Alza 1.5 AV berharga RM75,500.
Seorang peniaga, Mohd. Firdhaus Md Harun, 41, dia hadir ke MSAM 2022 kerana turut teruja dengan hadiah cabutan bertuah yang ditawarkan penganjur.
“Tidak salah kalau mencuba, siapa tahu ada rezeki untuk menang hadiah utama, selain kereta ada juga tujuh buah motosikal untuk dimenangi.
“Selain itu, sudah tentu juga MSAM 2022 membantu memberi pendedahan kepada pengunjung cara-cara menguruskan kewangan dengan lebih baik,” katanya ketika ditemui di tapak penganjuran MSAM 2022 di Kawasan Lapang Pantai Batu 1 di sini hari ini.
Bagi pekerja swasta, S. Salvemary Sandaran, 42, pula berkata, dia juga tidak mahu ketinggalan untuk hadir ke MSAM 2022 bagi mencuba nasib.
“Saya telah mendaftar dan menjawab soalan yang diberikan, kalau menang saya harap dapat bawa pulang kereta Perodua Alza kerana saya memang minat sejak ia dilancarkan baru-baru ini,” katanya yang turut memberitahu program-program lain yang turut disediakan pada MSAM 2022 sangat menarik dan sesuai untuk seisi keluarga.
MSAM 2022 anjuran Permodalan Nasional Berhad (PNB) menyediakan pelbagai aktiviti pendidikan pelaburan dan pameran yang disertai kira-kira 50 pempamer. –UTUSAN