KUALA LUMPUR: Tiga parti utama iaitu Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) meletakkan pendidikan sebagai teras utama dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad, perkara itu jelas selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti, sistem pendidikan negara akan menjadi agenda utama mana-mana parti yang menang.
“Ia cukup jelas secara politik semua pemimpin memberikan tempat yang begitu tinggi sekali kepada sektor pendidikan. Ia juga memberi isyarat kepada kita bahawa pada masa depan harapan untuk menghasilkan pendidikan baik tidak pernah terpadam.
“Ini satu kemenangan awal kepada rakyat dan kita tidak perlu risau kerana parti mana menang sekali pun kita masih berpeluang menikmati pendidikan yang lebih baik,” katanya dalam video yang dimuat naik dalam Facebooknya, hari ini.
Menurut Anuar, manifesto tiga parti tersebut turut memberi tumpuan terhadap dua perkara pokok iaitu pendigital pendidikan dan menaik taraf kemudahan sekolah.
“Ketiga-tiga parti ini mahu memastikan sekolah mempunyai akses internet laju, menyediakan peranti kepada guru dan murid. Misalnya, BN menawarkan ketiadaan buku teks fizikal. Jadi, pelajar boleh menggunakan buku teks secara digital.
“Bagi saya, itu satu perkara yang menarik, rakyat khususnya anak-anak akan mendapat tawaran pendigitalan pendidikan selepas PRU,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, usaha PN memperuntukan RM2.5 bilion setiap tahun bagi penyelenggaraan sekolah turut disambut baik.
“PH pula memberi isu tumpuan pada sekolah daif begitu juga dengan penyelenggaraan sekolah yang termasuk dalam manifesto BN.
“Maksudnya, tiga parti ini memberi tumpuan kepada mewujudkan sekolah yang kondusif, mempunyai kemudahan baik untuk pelajar dilihat antara tonggak kepada manifesto pendidikan mereka.
“Jadi, mana-mana parti yang menang rakyat tetap akan dapat sekolah yang baik dan sebagainya,” katanya. – UTUSAN










