PUTRAJAYA: Tun Dr. Mahathir Mohamad hairan Pakatan Harapan (PH) masih mengulangi janji palsu manifesto sama untuk menghapuskan tol sebagai satu pertaruhan kepada rakyat jika gabungan parti itu menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Bekas Perdana Menteri itu berkata, rakyat yang cerdik sudah boleh menilai bahawa tol sebenarnya tidak boleh dihapuskan kerana kerajaan memerlukan hasil daripada kutipan itu digunakan untuk memperbaiki jalan dan sebagainya.
Sambil mengakui manifesto yang dirangka ketika PH mahu mendapat mandat daripada rakyar pada PRU14 lalu adalah sesuatu yang ‘luar biasa’ setebal 60 muka surat, namun ia gagal ditunaikan kerana janji-janji bersifat populis itu disediakan ahli profesional dan bukannya orang politik.
“Saya beritahu kepada mereka (pihak merangka manifesto PH ketika PRU14) kita tak boleh hapuskan tol kerana kita perlukan duit untuk perbaik jalan dan sebagainya, tetapi mereka masukkan juga kononnya nak hapuskan tol.
“Orang (rakyat) sukalah tak dikenakan tol. Tapi kalau tak kenakan tol nanti jalan semua akan rosak. Jalan perlu diperbaiki, tiap-tiap tahun berjuta kita nak belanja, duit nak mai (datang) dari mana kalau kerajaan tak kutip tol.
“Duit cukai yang lainlah pergi situ (kos) untuk betulkan jalan. Bila kita guna duit untuk betulkan jalan, duit untuk buat sekolah, hospital, untuk bantu biasiswa, apa semua tak ada kerana semua nak belanja duit,” katanya dalam temubual bersama Utusan Malaysia di pejabatnya di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini semalam.
Dalam manifesto Kerajaan Harapan bagi berdepan PRU15 meletakkan komitmen mengkaji semula semua perjanjian konsesi lebuhraya dan berunding untuk mendapatkan harga terbaik, dengan pencapaian pengurangan 18 peratus kadar tol bagi Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) termasuk Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2).
PH bertekad untuk meneruskan pengurangan tol PLUS secara berperingkat dengan matlamat akhir penghapusan tol dan pengembalian lebuh raya PLUS kepada milik awam.
Intipati kitar semula itu merupakan janji keenam manifesto PH pada PRU14 lalu menyatakan gabungan itu akan mengkaji semula semua perjanjian konsesi lebuh raya dan berunding mendapatkan harga terbaik bagi mengambil alih setiap konsesi tol dengan matlamat akhir menghapuskan kutipan tol secara berperingkat.
Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) berkata, tindakan PH yang kini mengulangi kali kedua manifesto berkenaan tidak boleh lagi meyakinkan rakyat kerana rakyat sudah rasa tertipu.
“Manifesto itu kononnya dalam 100 hari nak buat itu ini, itu mudah bagi orang profesional nak buat, tetapi realiti politik tak boleh buat. Rakyat tertipulah. Dia (rakyat) ingat (kerajaan) boleh buat tapi tak boleh buat.
“Sebenarnya tol di Malaysia adalah terendah mungkin. Dan kita gunakan duit itu untuk perbaik jalan, lebih dari itu adalah keuntungan kepada kerajaan,” katanya.
Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang bakal mempertahankan Parlimen Langkawi itu pada masa sama mengakui manifesto parti politik untuk memenangi pilihan raya bukanlah kitab suci.
Kata beliau, ia bukan sandaran kepada pihak yang membentangkan manifesto itu untuk melaksanakannya dan terikat sampai terjerat, sebaliknya, ia adalah bayangan tindakan yang akan diambil oleh parti politik.
“Kita buat manifesto tetapi ada peruntukan dalam manifesto tidak boleh dilaksanakan. Kita nak buat juga tak boleh lah sebab dia bukan al-Quran kita nak patuh.
“Umpamanya kita buat keputusan untuk tak ada tol dikenakan atas jalan, bila tak kenakan tol, siapa nak perbaik jalan, siapa nak perbesar jalan. Semua kerajaan, (tapi) kerajaan tidak ada duit. Sebab itu kita kena ada tol,” katanya.
Dr. Mahathir turut menjelaskan berhubung pemansuhan hukuman mati iaitu antara kandungan manifesto yang dibawa PH pada PRU14, namun perkara itu sukar dilaksanakan memandangkan ia menyentuh peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Kata beliau, pindaan Perlembagaan perlu ada dua pertiga sokongan dalam Dewan Rakyat, tetapi PH tidak mencapai angka itu mengakibatkan janji pemansuhan hukuman mati tidak boleh dilaksanakan walaupun ada dalam manifesto.
“Tetapi kalau rakyat bagi kemenangan dua pertiga kepada PH, masa itu boleh buat lah. Bila kita tak dapat cukup bilang, kita tak boleh buat apa yang disebut dalam manifesto.
“Jadi manifesto itu adalah sesuatu yang menunjukkan minat kita apa yang kita nak lakukan. Tapi ada benda-benda yang kita tak mungkin lakukan kerana menyentuh Perlembagaan dan Perlembagaan perlu dua pertiga baru kita boleh laksanakan,” katanya. – UTUSAN










