REMBAU: Sebuah trak tentera yang dalam perjalanan membawa 24 orang anggota tentera ke pusat pengundian awal terbabit nahas di Kilometer 13, Jalan Chengkau-Pilin, dekat Durian Daun, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Hazri Mohamad berkata, kemalangan berkenaan membabitkan lori Regimen 11 Kor Armor Diraja Gemas yang terbalik di lokasi kemalangan.
Menurutnya, anggota tentera tersebut dalam perjalanan ke pusat pengundian awal Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) di Port Dickson bagi tujuan mengundi awal.
“Mangsa iaitu lapan orang anggota mengalami kecederaan di tempat kejadian dan telah dikejarkan ke hospital berhampiran bagi rawatan lanjut. Siasatan masih dijalankan,” katanya hari ini.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota, Penolong Penguasa Bomba, Ahmad Hafiz Mat Junoh berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 11.47 pagi dan sebaik tiba terdapat seorang anggota bomba yang tersepit di bahagian kaki di tempat duduk belakang.
“Pihak kami menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit. Dua daripada mangsa mengalami kecederaan parah,” katanya.
Sementara, tinjauan mendapati, sebatang pokok menjadi penyelamat dari kenderaan tentera berkenaan terjunam ke tebing rumah penduduk.-UTUSAN.