Kolam kumbahan dipenuhi sampah-sarap

Kolam kumbahan dipenuhi sampah-sarap

SAMPAH-sarap berupa botol minuman dan beg plastik yang memenuhi kolam tadahan air kumbahan hingga menimbulkan bau busuk dan meloyakan di Taman Ria Jaya, Sungai Petani. -UTUSAN/OTHMAN YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Kolam tadahan air kumbahan Taman Ria Jaya, di sini yang sebelum ini dipenuhi keladi bunting hingga menjadi tarikan pengunjung kerana keindahannya, kini terbiar dan dipenuhi sampah-sarap.

Jika dahulu kolam seluas empat padang bola sepak yang dilihat daripada jauh seakan-akan hamparan permaidani, tidak lagi dijaga oleh pihak berkaitan sehingga dipenuhi semak dan berbau busuk.

Seorang penduduk Flat Paya Nahu, Ahmad Khatib, 42, berkata, dia kesal kerana persekitaran kawasan kolam itu tidak lagi dijaga dengan sempurna sejak beberapa bulan lalu.

“Sebelum ini penduduk berdekatan dapat hidup dalam keadaan selesa berikutan tidak timbul masalah bau busuk kerana keladi bunting yang tumbuh di permukaannya menyerap bau tidak menyenangkan itu.

“Tapi kini baunya kembali meloyakan terutama sewaktu dibawa angin ekoran kolam ini dipenuhi sampah-sarap dan air kumbahan,” katanya ketika ditemui, semalam.

Tidak lama dahulu, kolam itu menjadi tarikan pengunjung untuk bergambar berikutan keindahan kawasan persekitarannya yang dijaga rapi selain tumbuhan keladi bunting memenuhi permukaannya.

Sementara itu, penduduk Taman Ria Jaya, S.Sarojadevi, 38, berkata, dia terpaksa menutup cermin keretanya semasa menghantar anak ke Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Kiara kerana tidak tahan dengan bau busuk setiap kali melalui kawasan kolam tersebut.

“Baunya sangat meloyakan kerana sampah-sarap di sini dikenal pasti terbiar lama selepas bercampur dengan air kumbahan.

“Hilang seri kawasan ini yang dahulunya dipenuhi pokok keladi bunting berwarna ungu sebaliknya orang ramai mula menuding jari kepada pihak berkuasa yang gagal menyelenggara kolam ini sebaik-baiknya,” katanya.

Bagi Halim Hamid, 43, pula. pihak berkuasa sepatutnya berterusan menjaga kolam kumbahan yang menjadi tempat takungan air sisa daripada kawasan Perusahaan Kecil Ayam Didik dan perumahan berdekatan.

“Sayang sekali kerana banyak masa dan wang perlu dibazirkan bagi mencantikkan semula kawasan ini seperti dahulu,” katanya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.