KOTA KINABALU: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Kenny Chua memberi jaminan penantian 15 tahun untuk membangunkan klinik kesihatan baharu di Penampang akan direalisasikan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Sekiranya beliau menang pada pilihan raya kali ini, beliau akan memastikan pembangunan klinik kesihatan baharu di Parlimen Penampang akan menjadi keutamaan.
Beliau berkata, kelulusan peruntukan bagi pembinaan klinik baharu itu diberikan semasa pemerintahan kerajaan terdahulu, tapi, malangnya ia tidak dilaksanakan.
Katanya, peningkatan populasi penduduk di situ memerlukan kerajaan menyediakan perkhidmatan kesihatan yang lebih baik kerana klinik kesihatan sedia ada tidak mampu menampung jumlah pesakit yang ramai.
“Lokasi klinik sedia ada agak sempit dan tidak lagi sesuai dengan keadaan pesakit yang semakin bertambah.
“Justeru, satu kawasan telah dikenal pasti untuk membangunkan klinik kesihatan baharu itu. Kerajaan negeri akan berbincang dengan Kementerian Kesihatan bagi pembinaan klinik itu.
“Kita tengok nanti selepas pilihan raya, kalau kita menang kerusi Parlimen Penampang, saya akan beri keutamaan kepada agenda kesihatan,” katanya dalam sidang akhbar semalam.
Kenny, yang juga Naib Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) itu berkata, beliau akan memastikan agenda kesihatan rakyat Penampang menjadi keutamaannya selepas menang pada PRU-15.
Di samping itu, beliau juga bercadang membangunkan sebuah universiti minyak dan gas di kawasan Penampang yang berada berhampiran dengan pusat bandar raya.
Rancangan membina universiti itu telah dibincangkan dengan Petronas dan beberapa syarikat minyak dan gas lain. Jika ia mampu dibangunkan, ia akan meningkatkan penglibatan belia-belia tempatan dalam industri minyak dan gas di Sabah.
Mengulas lanjut katanya, kawasan Parlimen itu masih kekurangan kemudahan infrastruktur dan peluang ekonomi jadi, sekiranya diberi mandat oleh rakyat pada pilihan raya kali ini, beliau akan memastikan Penampang berpotensi diangkat sebagai bandar penuh.
Jelas beliau, masalah banjir di situ dijangka akan dapat ditangani setelah projek tebatan banjir yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan siap sepenuhnya dalam tempoh dua tahun lagi. –UTUSAN









