KLANG: Seorang kerani didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret Klang kerana menyimpan 62 klip video lucah di dalam telefon bimbitnya, empat tahun lalu.
Majistret P. Sarultaha menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap tertuduh, Noor Azmira Kamarudin, 44, yang mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya.
Berdasarkan pertuduhan, Noor Azmira didakwa memiliki 62 video lucah di dalam telefon bimbitnya dan beliau didapati melakukan kesalahan itu di sebuah unit pangsapuri di Bandar Putera, di sini, pukul 8.30 malam pada 23 Oktober 2018.
Sabit kesalahan boleh dipenjarakan sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan.
Namun, mahkamah menetapkan penjara lima bulan terhadap tertuduh sekiranya beliau gagal membayar denda tersebut.
Peguam yang mewakili tertuduh, Rajvinder Singh memohon hukuman dikurangkan kerana Noor Azmira mempunyai seorang anak yang masih kecil, selain sedang menjaga ibu bapanya yang sudah uzur.
“Anak guam saya bekerja sebagai kerani dengan berpendapatan RM2,000 sebulan,” jelasnya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Fazril Sani Mohd. Fadzil meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kepada tertuduh sebagai pengajaran terhadapnya agar tidak mengulangi perbuatan itu pada masa hadapan. –UTUSAN