Kerajaan Perak akan dikuasai DAP – Faizal Azumu - Utusan Malaysia

Kerajaan Perak akan dikuasai DAP – Faizal Azumu

AHMAD FAIZAL AZUMU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyifatkan pembentukan Kerajaan Negeri Perak gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan dikuasai DAP.

Menurut beliau, alasan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad bahawa keputusan menubuhkan kerajaan bersama PH demi kepentingan rakyat, akan membolehkan DAP me­nguasai pentadbiran kerajaan negeri.

“Kita ucap tahniah atas perlantikan YAB Datuk Seri Saarani sebagai Menteri Besar Perak dan menubuhkan kerajaan yang dikuasai DAP.

“Alasan beliau dalam membuat keputusan menubuhkan kerajaan bersama DAP adalah demi kepentingan rakyat, amat bertepatan dengan hasrat DAP memperkudakan beliau dan UMNO dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Perak.

“Namun, saya ucapkan selamat maju jaya kepada beliau,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu mengulas kenyataan Saarani yang mempertahankan dirinya bahawa beliau bukan pengkhianat untuk mendapat jawatan Menteri Besar selepas membuat keputusan awal membentuk jajaran baharu politik antara BN dan PH di Pe­rak.

Dalam laporan yang disiarkan Mingguan Malaysia, Saarani yang juga Pengerusi BN Ne­­geri berkata, keputusan tersebut dibuat bagi memastikan Kerajaan Perak stabil dan ditadbir dengan baik sejurus selepas PRU15 selesai.

NEGATIF

Justeru, tegas Saarani, tuduhan sebagai pengkhianat dan komen-komen negatif lain yang dilemparkan termasuk dalam kalangan orang Melayu dan Islam daripada Pas tidak berasas kerana keputusan dibuat demi kepentingan rakyat dan negeri.

PH menang 24 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU15, membentuk kerajaan negeri dengan BN yang menang sembilan DUN.

Perikatan Nasional (PN) memenangi 26 kerusi DUN di Perak, diikuti PH (24) dan BN (9). Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan dengan jumlah kerusi BN dan PH bagi membentuk kerajaan negeri.

Sementara itu, Setiausaha Bersatu Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata, Saarani tidak boleh melatah mahupun beremosi ketika menghadapi tekanan akibat tindakan politik diambilnya.

Menurut beliau, sebagai individu yang pernah duduk dalam situasi yang dihadapi Saarani, beliau lali dengan kecaman yang dilempar terhadapnya.

“Selagi beliau (Saarani) taat kepada presiden parti dan mengikut plot jajaran baharu kerajaan perpaduan ini serta penyokong dan pengundi BN tidak marah maka tiada apa yang perlu dirisaukan tentang komen negatif.

“Saya sendiri dicemuh dan digelar sebagai pengkhianat sejak Mei 2018 lalu hinggalah ketika kempen PRU15.

“Namun akhirnya saya masih memenangi kerusi DUN Sungai Manik malah kemenangan 3-0 iaitu di Parlimen Pasir Salak dan Kampong Gajah,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×