KOTA BHARU: Kerajaan negeri berharap Kerajaan Persekutuan yang baru dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dapat mengamalkan dan menghormati semangat Persekutuan dengan baik.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, mana-mana projek untuk negeri ini yang sudah diluluskan dan dimulakan perlu diteruskan demi kebaikan seluruh rakyat negeri ini.
“Diharapkan agar semua projek berkenaan tidak tergendala dan tersekat oleh isu-isu atau agenda-agenda politik kerana kesemua projek itu adalah untuk rakyat.
“Apa-apa projek dilaksanakan yang mendapat manfaat dan faedah adalah rakyat. Kerajaan negeri sekadar menjadi orang tengah dalam menyiapkan projek-projek berkenaan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor itu memaklumkan, kerajaan negeri belum membincangkan tarikh pembubaran DUN dan Pilihan Raya Negeri (PRN).
Katanya, PRN tidak boleh diadakan terlalu awal bagi memberi ruang rehat kepada petugas-petugas parti yang telah mengerah keringat pada PRU15 lalu.
“Kita juga perlu prihatin dengan kesukaran pengundi-pengundi yang baru sahaja pulang ke tempat masing-masing selepas menunaikan tanggungjawab mereka. Kalau kita buat PRN segera kasihanlah mereka.
“Kita ada masa sehingga Mei tahun depan. Jika pada masa itu DUN belu. Dibubarkan maka ia akan terbubar secara automatik. Selepas itu ada masa sehingga Julai tahun depan untuk mengadakan PRN,” ujarnya. –UTUSAN