Jangka hayat BN-UMNO berakhir jika pilih PN - Utusan Malaysia

Jangka hayat BN-UMNO berakhir jika pilih PN

Ahmad Zahid Hamidi selepas selesai menghadap Agong di Istana Negara semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jangka hayat politik Barisan Nasional (BN) dan UMNO akan lenyap sekiranya parti itu membentuk kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, demi kepentingan parti, pihaknya perlu memperhalusi dan berfikir panjang untuk merintis kerjasama politik dengan PN terutama­nya Bersatu.

Menurut beliau, Bersatu dan PN dilihat mahu ‘membunuh’ jangka hayat politik BN apabila mereka bukan sahaja meletakkan calon di 73 majoriti Melayu tetapi memenangi semua kerusi berkenaan.

“Sebab kita mahu jaga kepen­tingan UMNO BN sendiri jika kita bekerjasama dengan PN. Kita tahu Bersatu mahu ‘membunuh’ UMNO, begitu juga dengan PN mahu ‘bunuh’ BN sebab 73 kawasan dimenangi mereka ialah kerusi majoriti Melayu dan UMNO juga bertanding.

“Jadi untuk jangka panjang, kalau kita bersama dengan PN maka UMNO akan berakhir hayat politiknya,” katanya.

TULAR

Beliau mengulas mengenai surat kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang tular semalam yang kononnya 30 ahli parlimen BN sebulat suara memberikan kepercayaan kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.

Ahmad Zahid berkata, semua calon BN telah menandatangani surat akuan bersumpah yang memberi kuasa kepada Pengerusi BN iaitu beliau sendiri untuk membentuk kerajaan atau bergabung dengan mana-mana pihak setelah perbincangan diadakan di peringkat Dewan Tertinggi BN dan atau MT UMNO.

Sehubungan itu, surat tersebut diutus kepada Istana Negara kerana semua calon BN yang memenangi PRU15 memberi kuasa kepada beliau untuk berbuat demikian.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid mengakui pihaknya mengadakan perbincangan dengan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 21 November lalu manakala Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

“Jadi siapa beri tawaran terbaik, itulah kita buat keputusan dan dibincangkan MT. Namun mesyuarat MT malam ini (semalam) paling penting untuk membincangkan titah Tuanku untuk akur dengan apa sahaja keputusan dibuat Tuanku untuk membentuk kerajaan perpaduan atau campuran atau lain-lain. Itu di bawah kebijaksanaan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, Yang di-Pertuan Agong menitahkan agar BN menyokong sebarang keputusan pembentukan kerajaan kerana tiada satu gabungan parti boleh membentuk kerajaan, maka sebaiknya ke arah penubuhan kerajaan perpaduan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN