Felicia mahu jadi pilihan pengundi Seremban

Felicia mahu jadi pilihan pengundi Seremban

FELICIA WONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

Sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), timbul tanda tanya, siapakah individu yang akan dicalonkan Barisan Nasional (BN) di Parlimen Seremban.

Ini kerana, lawan yang bakal dihadapi BN bukan calang-calang kerana penyandang kerusi tersebut iaitu, Loke Siew Fook adalah Setiausaha Agung DAP.

Tiada siapa sangka, akhirnya BN membuat keputusan menampilkan calon wanita, FELICIA WONG YIN TING, 43, untuk menghadapi saingan lima penjuru dan ‘menambat hati’ 157,244 pengundi di Seremban.

Kepada wartawan Utusan Malaysia, BADRUL HAFIZAN MAT ISA, Yin Ting yang juga anak jati Seremban berkongsikan hasratnya untuk mencipta kejutan dalam pertembungan kali ini.

UTUSAN: Mungkin ramai yang belum mengenali Felicia, boleh maklumkan serba sedikit latar belakang puan?

FELICIA: Saya memang berasal dari Seremban, saya mulakan pendidikan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chi Hwa, selepas itu menyambung pendidikan menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Ampuan Najihah dan seterusnya tingkatan enam di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Ampuan Durah.

Kemudian saya menyambung pula pelajaran di Universiti Malaya, selepas itu saya kembali ke Seremban dan memulakan kerjaya sebagai seorang guru seterusnya saya menjadi seorang pengetua di sebuah sekolah swasta bermula 2008 sehingga 2019. Saya seterusnya menceburkan diri dalam perniagaan biodegradable (terbiodegradasikan)

Bilakah mula terlibat secara aktif dalam bidang politik termasuk bersama dengan MCA?

Saya mula aktif apabila secara tidak langsung ketika membantu rakan saya, Ng Kian Nam pada 2018 yang ketika itu bertanding di kerusi Parlimen Rasah. Pada waktu itu, ia juga didorong oleh keinginan saya mahu mengetahui perjalanan sesuatu pilihan raya itu. Selepas itu, timbul keazaman pada diri saya, untuk membantu komuniti menerusi politik.

Sebagai seorang muka baharu malah masih sangat baharu dalam politik, ada yang mempersoalkan kemampuan aanda bagi mewakili BN di Seremban, apa reaksi?

Walaupun saya ahli politik baharu, tetapi dari segi pentadbiran saya berpengalaman. Saya akan gunakan pengalaman saya dalam bidang pendidikan dan ketika mengetuai perniagaan untuk menghadapi PRU15. Saya akan cuba kumpulkan semua kekuatan BN terutamanya yang ada parti-parti komponen seperti UMNO, MCA dan MIC dengan masing-masing saling bekerjasama, yang penting untuk masyarakat mengenali saya terlebih dahulu.

Lawan yang akan dihadapi salah seorangnya ialah Loke Siew Fook, merupakan nama besar dalam arena politik tanah air, anda yakin mampu berhadapan dengan beliau?

Saya yakin, untuk berhadapan dengannya, jika tidak, saya tidak akan menerima tanggung jawab ini, saya akui beliau seorang pemimpin yang berkaliber, tetapi saya melihat Seremban ini sebagai kampung halaman saya yang sangat berpotensi.

Saya berharap dapat jadi satu pilihan buat penduduk di sini untuk memilih calon yang lebih baik. Sebagai seorang pemimpin wanita, saya yakin lebih prihatin dan teliti serta empati. Bukan senang untuk menerima pemimpin wanita yang sanggup tampil memikul tanggungjawab ini.

Sebagai seorang calon wanita, adakah anda akan memberi lebih tumpuan kepada pengundi wanita sepanjang kempen kali ini?

Tumpuan saya, adalah kepada semua lapisan masyarakat, namun dari segi isu, saya akan beri lebih tumpuan kepada bidang pendidikan, ekonomi, dan juga kebajikan masyarakat.

Di Seremban juga saya melihat isu banjir menjadi isu yang perlu diberikan perhatian dan perlu diselesaikan. Selain itu, jika diberi mandat, isu berkenaan bangunan-bangunan terbengkalai yang banyak di bandar ini juga perlu diberikan tumpuan dan ia mesti dibangunkan semula. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.