SHAH ALAM: Empat beranak nyaris rentung apabila kediaman mereka di sekitar Kawasan Perkuburan Nirwana, Seksyen U13 di sini, terbakar hari ini.
Kebakaran kira-kira pukul 7 pagi itu melibatkan sebuah bilik utama rumah dua tingkat berkenaan
Kesemua mangsa terdiri daripada pasangan suami isteri dan dua anak bagaimanapun terselamat selepas berjaya keluar dari kediaman itu.
Ketua Pusat Gerakan Operasi Bomba Selangor, Zulfikar Jaffar berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pukul 7.04 pagi.
Katanya, operasi itu disertai sepasukan 20 anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Anggerik, Kapar dan Sungai Pinang.
“Pemeriksaan lanjut mendapati api sedang marak memusnahkan keseluruhan bilik berkenaan.
“Kebakaran itu bagaimanapun tidak merebak dan berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh bomba,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Zulfikar, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.-UTUSAN