GUA MUSANG: Calon Pas Parlimen Gua Musang, Mohd. Azizi Abu Naim tidak gentar berdepan reputasi penyandang kerusi berkenaan selama 10 penggal iaitu dari Barisan Nasional (BN), Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li.
Mohd. Azizi sebaliknya mahu memperjuangkan hak rakyat di kawasan Gua Musang termasuk dari segi pembangunan sosial dan ekonomi.
Beliau yang juga Ketua Bahagian Parti Pribumi Malaysia (Bersatu) Gua Musang berkata, dia memiliki strategi serta pendekatan sendiri untuk memenangi hati pengundi di kawasan tersebut yang menjadi ‘lubuk’ BN sejak sekian lama.
“Saya yakin dengan gerak kerja yang dilakukan bersama jentera dan melihat ia mendapat sambutan daripada masyarakat.
“Saya yakin Pas yang merupakan sebahagian daripada Perikatan Nasional (PN) mampu mengambil alih Parlimen Gua Musang serta dengan kekuatan jentera yang ada, saya tidak akan memberikan laluan mudah kepada parti lawan,” katanya semasa menyantuni penduduk di Taman Damar di sini hari ini.
Mohd. Azizi memberitahu, jika diberi mandat sebagai Ahli Parlimen, dia bertekad memperjuangkan hak rakyat di kawasan ini termasuklah daripada segi pembangunan sosial dan ekonomi.
Katanya, Gua Musang perlu diberi nafas baharu dari segi sosio ekonomi untuk memastikan taraf hidup masyarakat di sini sama dengan penduduk di luar.
Parlimen Gua Musang menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Mohd. Azizi bersama calon daripada Ku Li (BN) Datuk Dr. Samsu Adabi Mamat (Gerakan Tanah Air) dan Asharun Uji (Pakatan Harapan).
Pada PRU14 lalu, Ku Li mempertahankan kerusi tersebut dengan majoriti 3,913 dengan menewaskan calon Pas dan PKR.
Ku Li memperoleh 19,426, Pas (15,513 undi) dan PKR (4,997). –UTUSAN